PCM cabar Guan Eng di Bagan, Air Putih

in Edisi Utara by


PERAI – Parti Cinta Malaysia (PCM) mempertaruhkan dua calon pada PRU14 akan datang dengan hanya bertanding di kerusi Parlimen Bagan dan Dun Air Putih.


Timbalan Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan, 57, diumumkan bertanding Parlimen Bagan manakala ahli PCM, R Manikandan, 40, diletakkan di kawasan Dun Air Putih.


Kedua-dua kerusi berkenaan akan ditandingi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang akan mewakili Pakatan Harapan.


Cheng Guan berkata, beliau tidak gentar berhadapan dengan ketua menteri walaupun mengetahui peluangnya untuk menang sangat sukar namun beliau berjanji tidak akan memberi jalan mudah untuk Guan Eng.


“PRU kali ini adalah medan terbaik untuk PCM berkempen bagi membuka mata rakyat tentang isu-isu semasa yang gagal diselesaikan kerajaan negeri,” katanya pada majlis pengumuman calon yang diadakan di sebuah hotel, di sini tadi.


Sementara itu, calon Dun Air Putih, Manikandan mengakui banyak isu dan permasalahan di kawasan itu tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh wakil rakyat mereka selama ini.


“Walaupun kita lawan gergasi namun itu bukan masalah besar, kerana kita mahu bantu rakyat untuk celik apa yang mereka tak tahu mengenai kegagalan kerajaan negeri.


“Saya anak tempatan di Air Putih dan tahu apa yang dimahukan rakyat di sini dan banyak perkara yang tidak dapat diatasi wakil rakyat kawasan itu sebelum ini,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]