Remaja cedera langgar lembu

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


REMBAU – Seorang remaja cedera apabila motosikal yang ditunggang merempuh sekumpulan lembu di Jalan Lubok China – Linggi berhampiran Rumah Rakyat Lubok China, di sini, kelmarin.


Mangsa, Mohd Khusaini Md Anuar, 20, dikejarkan ke Klinik Kesihatan (KK) Lubok China sebelum dipindahkan ke Hospital Alor Gajah bagi rawatan lanjut selepas terlibat kemalangan berlaku kira-kira jam 8.30 malam.


Menurut Khusaini, ketika kejadian, dia dalam perjalanan menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dari kediamannya di Rumah Rakyat Lubok China menuju ke Kuala Sungai Baru, Melaka.


“Di sini ada jalan yang diterangi cahaya lampu ada yang tak dan gelap pada waktu malam. Jadi saya tak perasan ada sekumpulan lembu di jalan dan terus rempuh.


“Jika diikutkan tahun ini saja, sudah terdapat empat kemalangan babitkan penunggang motosikal merempuh lembu berkeliaran di sini,” katanya.


Khusaini berkata, susulan kemalangan itu dia menerima kira-kira enam jahitan di jari telunjuk dan cedera di beberapa anggota badan.


Menurutnya, bagaimanapun, dia yang bekerja kampung bersyukur apabila kecederaan dialaminya tidak begitu serius.


“Saya sangat harap pemilik lembu di kawasan ini bekerjasama dengan tak membiarkan binatang ternakan masing-masing berkeliaran di atas jalan.


“Sikap sambil lewa mereka mengundang bahaya kepada pengguna sehingga boleh menyebabkan nyawa melayang,” katanya yang tidak membuat laporan polis berhubung kemalangan itu.


Sementara itu, Yang Dipertua Majilis Daerah Rembau (MDR), Amino Agos Suyub berkata, aduan berhubung insiden itu masih belum diterima.


“Jika ia adalah kawasan perumahan, kami laksanakan operasi menangkap binatang ternakan berkeliaran itu.


“Jika di luar kawasan operasi MDR, kami akan ketengahkannya kepada Jabatan Veterinar bagi tindakan selanjutnya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]