Rugi RM5,880 gara-gara beli beg tangan online

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Hasrat seorang suri rumah untuk bergaya sakan dengan beg tangan mewah jenama YSL terpaksa dilupakan apabila pembeliannya itu ditipu sehingga mengalami kerugian RM5,880.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 33 tahun itu membuat urusan jual beli beg tangan tersebut di sebuah laman sosial.


Menurutnya, mangsa begitu teruja untuk membeli beg tangan berkenaan selepas melihat iklan penjualan di dalam laman sosial, Instagram mygrandluxeworld, 11 April lalu.


“Mangsa yang tinggal di Kea Farm, Cameron Highlands memindahkan wang sebanyak RM5,880 ke dalam akaun yang diberikan suspek.


“Bagaimanapun, Ahad lalu, mangsa cuba menghubungi nombor telefon suspek, namun sudah disekat.


“Dalam masa sama, mangsa telah menghantar mesej melalui Instagram bertanyakan mengenai pembelian berkenaan… suspek menyuruh dia tunggu sahaja dan sehingga kini belum menerima beg berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, kata Mohd Wazir, setelah merasa tertipu dan kehilangan wang mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.


“Pihak polis sudah mengenal pasti suspek terbabit dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.


Sementara itu, katanya, dalam kes berasingan, dua lelaki dipercayai ceti haram ditahan polis ketika sedang meletakkan iklan pinjaman wang di pintu kenderaan di Lorong Tun Ismail, di sini, kelmarin.


“Lebih kurang jam 12 tengah hari, anggota polis bertugas sedang melakukan rondaan cegah jenayah dan menyedari tindakan dua suspek  itu yang berusia 20 dan 21 tahun adalah mencurigakan sebelum menahan mereka.


“Polis bertindak melakukan pemeriksaan di dalam kereta suspek dan mendapati terdapat beberapa banting serta kertas pemberi pinjaman wang.


“Kesemua barangan berkenaan dirampas dan mereka dibawa ke IPD Kuantan bagi siasatan lanjut kerana menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen,” katanya.


Katanya lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]