Sinar Harian sertai MPPM

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pasaran Penerbit Premium Malaysia (MPPM) hari ini, mengumumkan Sinar Harian sebagai ahli terbarunya.


MPPM merupakan satu kerjasama syarikat penerbitan untuk menawarkan platform pengiklanan lebih selamat, melindungi kepentingan pengiklan, telus dan mencapai jangkauan pasaran lebih meluas.


Ketua Pegawai Operasi Karangkraf, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, Sinar Harian amat berbesar hati dapat menyertai MPPM. “Syarikat penerbitan berita di negara ini menghadapi cabaran yang sama dalam talian. MPPM adalah satu sokongan kuat kepada industri dan komited mendepani piawaian digital.


“Oleh itu, kami amat berbesar hati untuk menyertai dan menyokong usaha MPPM untuk menggalakkan ketelusan perdagangan iklan dalam talian di Malaysia,” katanya.


Sementara itu, Naib Pengerusi MPPM, Keu Tien Siong berkata, penyertaan Sinar Harian dilihat penting untuk masa depan perniagaan berita.


“Keputusan Sinar Harian untuk menyertai MPPM akan memperkuatkan usaha kami dalam meningkatkan ketelusan pengiklanan demi kepentingan masa depan media di negara ini,” katanya.


Dengan penyertaan Sinar Harian, MPPM kini terdiri daripada sembilan syarikat penerbitan utama, selain The Star, Sin Chew, China Press, Utusan, Kosmo, The Edge, Nanyang dan Guang Ming yang menjangkau 60 peratus populasi digital Malaysia.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]