Sukar ramal Selangor milik siapa

in Politik by


SHAH ALAM – Seperti pilihan raya umum sebelum ini, Selangor terus menjadi negeri tumpuan apatah menjelang PRU14 kali ini yang disifatkan ‘ibu’ segala pilihan raya.


Jika PRU sebelum ini kebanyakan kerusi Parlimen dan Dun hanya mempertaruhkan dua calon daripada parti politik utama namun kali ini pertembungan tiga penjuru membabitkan parti politik utama berlaku di hampir majoriti kawasan Dun dan Parlimen.


Pada PRU13, hanya 10 daripada 22 kerusi Parlimen ditandingi lebih tiga calon. Ia terdiri daripada calon BN, Pakatan Rakyat (Pas, DAP atau PKR) dan juga calon Bebas.


Manakala bagi Dun pula 24 daripada 56 kerusi di Selangor ditandingi lebih tiga penjuru namun majoriti calon ketiga bertanding atas tiket Bebas.


Berbeza bagi PRU14, pertembungan tiga penjuru kali ini membabitkan tiga parti politik utama termasuk BN, Pakatan Harapan yang akan bertanding atas tiket PKR dan juga Gagasan Sejahtera (Pas, Ikatan dan Berjasa).


Pas meletakkan calon untuk menentang Harapan selepas mengumumkan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.


Apa yang menariknya pertembungan tiga penjuru antara BN, PKR dan Gagasan Sejahtera akan berlaku sekurang-kurangnya di 51 kerusi di Selangor dan jumlah itu akan lebih sekiranya ada calon Bebas diletakkan di kerusi dua penjuru.


Pada PRU14 kali ini BN mempertaruhkan calon untuk semua 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dun.


Pas pula meletakkan 48 calon daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi di Dun Selangor.


Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang menganggotai Gagasan Sejahtera  mempertaruhkan satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun  manakala Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pula meletakkan calon bagi satu kerusi Parlimen.


Amanah yang bertanding di atas tiket PKR akan meletakkan calon di lima kerusi iaitu Parlimen Kota Raja, Sepang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Langat Manakala bagi Dun pula 10 calon akan diletakkan mewakili parti itu.


PKR meletakkan 21 calon bagi kerusi Dun. Bersatu meletakkan sembilan calon bagi kerusi Dun dan tiga bagi kerusi Parlimen.


DAP pula mempertaruhkan empat calon masing-masing bagi kerusi Parlimen Klang, Damansara, Bangi dan Puchong. Manakala di Dun pula, 16 calon DAP akan bertanding atas tiket PKR.


Ini bermakna Pakatan Harapan (Harapan) yang diwakili (DAP, PKR, Bersatu dan Amanah) meletakkan calon di semua kerusi dipertandingkan di Selangor. Manakala Gagasan Sejahtera meletakkan 51 daripada 56 jumlah kerusi dipertandingkan di Selangor.


Sukar ramal


Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sukar untuk meramalkan keputusan apabila terdapat pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya.


Bagaimanapun, beliau meramalkan kemenangan masih berpihak kepada Harapan di Selangor.


Menurutnya, terdapat beberapa faktor penting termasuk peratusan pengundi Melayu yang mungkin jadi penentu kepada kemenangan parti.


“Pada pandangan saya, jika pengundi Melayu lebih 80 peratus, BN ada peluang kerana undi Pas dan PKR sebelum ini kini sudah berpecah dua.


“Andaikan sebanyak 20 peratus undi bukan Melayu akan pecah juga, BN akan menang tipis,” katanya.


Beliau berkata, situasi itu juga diramal sama berlaku kepada Pas sekiranya jumlah pengundi antara 60 peratus dan 80 peratus.


Namun jika pengundi Melayu antara 40 dan 60 peratus, beliau menjangkakan PKR akan menang dengan sokongan pengundi bukan Melayu.


“Jika pengundi bukan Melayu majoriti, Harapan mempunyai lebih banyak peluang untuk menang.


“Namun, andaian ini atas senario pengundi Melayu majoriti dan minoriti belum  tengok angkubah lain seperti peratusan pengundi muda bawah 30 tahun, pengundi pertama kali dan sebagainya. Pengundi Melayu muda yang ada potensi mengundi BN,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]