Tak kisah dituduh mulut celupar

in Politik by


SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Amanah, Hanipa Maidin menyatakan beliau tidak kisah dilabel atau dituduh sebagai mulut celupar.


Katanya, kerjayanya sebagai peguam menjadikan dirinya lebih terdedah untuk bercakap benar dan berhujah secara berfakta.


“Saya tidak ada masalah dengan tuduhan dan dilabel sebagai mulut celupar. Kalau perkara itu tidak betul, saya akan cakap tidak betul dan tidak kisah siapa orang itu.


“Mungkin dalam parti sendiri pun saya akan tegur kalau presiden buat perkara tidak betul, bukan kerana benci tetapi sayang. Begitu juga ketika dalam Pas sebelum ini pun begitu, saya tegur sahaja presiden apabila berlaku perkara tidak betul,” katanya ketika sesi FB Live Sinar Harian, hari ini.


Menurutnya, beliau lebih percayakan kebebasan bersuara rakyat di negara ini seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.


“Orang berhak cakap apa sahaja dan sebab itu, saya tidak kisah bila orang label saya macam-macam seperti kata saya peguam negara dan sebagainya.


“Bagi saya ini perkara biasa dan tak akan marah kerana kalau saya silap, saya akan perbetulkan,” katanya.


Sementara itu, ketika ditanya bagaimana beliau menangani kecaman dan tuduhan, Hanipa menjawab, dia akan senyum sahaja.


“Kamu berhak dan dialu-alukan untuk berkata-kata. Saya tidak akan marah,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]