Tsunami Melayu hanya berlaku jika…

in Politik by


SHAH ALAM – Tsunami Melayu dalam PRU14 hanya akan berlaku sekiranya peratusan keluar mengundi sama atau lebih daripada PRU13 iaitu 85 peratus.


Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman berkata, memandangkan hari mengundi ditetapkan pada hari Rabu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), jangkaan peratusan keluar mengundi adalah sekitar 72 peratus.


“Penetapan pada hari Rabu dan banyak pihak bertanya kenapa tidak hari Sabtu atau Ahad? Pada saya ia ditetapkan agar ramai tidak keluar mengundi.


“Saya tidak nampak alasan lain berkenaan penetapan hari mengundi ini. Kalau buat pada hari minggu, 85 peratus pasti akan keluar dan situasi ini akan beri kesan kepada parti pemerintah,” katanya ketika membentangkan Kertas Kajian IDE ke 29, hari ini.


Menurutnya, mengambil contoh pilihan raya di Indonesia, mereka menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi.


“Sehari sebelum hari mengundi pegawai pilihan raya mereka akan turun ke kampung-kampung untuk maklumkan agar pengundi keluar mengundi.


“Mengundi adalah hak rakyat negara ini tanpa ada sekatan. Seperti saya maklumkan, jumlah keluar mengundi ini akan tinggi jika ia dilaksanakan pada hari minggu. Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera perlu galak orang ramai keluar mengundi,” katanya.


Menurutnya, jumlah hari berkempen juga memainkan peranan besar kepada keputusan pilihan raya.


“Jumlah kempen singkat beri kesan besar kepada pembangkang kerana sebelum wujudnya Facebook, pembangkang hanya berkempen mengikut cara ceramah dan bertemu mata. Kita ambil contoh 1986 dan 1995, jumlah hari berkempen sedikit dan kesannya ada kepada pembangkang.


“Kesilapan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjawat jawatan tersebut adalah mengumumkan hari berkempen selama 23 hari,” katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap kali persempadanan semula berlaku parti pemerintah memang banyak kerusi.


“Ambil contoh pada 2004 di mana persempadanan semula dilakukan BN menang 198 kerusi bersamaan dengan 90.41 peratus.


“Ramai yang kata faktor BN menang banyak kerusi ini adalah kerana faktor Pak Lah yang dikenali sebagai Mr Clean dan mudah didampingi, tetapi sebenarnya bukan disebabkan faktor itu, sebaliknya disebabkan persempadanan semula. Namun begitu undi popular sekadar 64 peratus,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]