Yakin kekal terajui Negeri Sembilan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin dan percaya akan terus menerajui negeri ini jika kerajaan sedia ada masih diberi mandat oleh rakyat selepas PRU14.


Beliau berkata, perkara itu sejajar dengan pemilihannya sebagai calon di peringkat Dun dan bukan Parlimen seperti digembar-gemburkan sebelum ini.


“Banyak spekulasi mengatakan saya akan pergi ke Parlimen Telok Kemang (kini Port Dickson) dan Parlimen Rembau. Ada juga kata, saya ke (Dun) Sikamat.


“Tapi medan perang saya di (Dun) Rantau. Hidup atau mati, akan tetap di Rantau dan saya takkan lari. Saya akan berjuang di sana.


“Insya-ALLAH kalau menang dan dengan perkenan Duli Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (Tuanku Muhriz Tuanku Munawir), saya rasa akan dilantik semula sebagai Menteri Besar,” katanya.


Seandainya menjadi realiti, kata Mohamad, beliau berpeluang meneruskan kerjasama dengan seluruh warga pendidik di negeri ini.


“Kita akan sama-sama berganding tangan dengan satu wawasan dan satu hajat untuk pastikan anak-anak di Negeri Sembilan jadi terbilang dan cemerlang,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap sebelum merasmikan Majlis Anugerah Akademik Terbilang 2018 di Klana Resort, di sini, petang tadi.


Turut hadir, Exco Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli serta Pengarah Pendidikan negeri, Pkharuddin Ghazali.


Untuk rekod, Mohamad sudah menyandang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan selama tiga penggal mulai PRU11.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]