Adam Rosly dipenjara enam bulan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PKR Ampang, Adam Rosly dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah memberi kenyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung harta yang dimiliki.


Hakim, Allaudeen Ismail turut memerintahkan Adam membayar denda RM30,000 atau penjara setahun sekiranya gagal menjelaskannya.


Dalam keputusannya, Allaudeen berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.


Adam,31, bagaimana pun dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara bagi memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu.


Mahkamah memerintahkan Adam membayar jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.


Terdahulu, peguam Datuk Sulaiman Ismail yang mewakili Adam memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dan mempunyai masalah kewangan akibat disita SPRM.


“Dia tidak berniat melakukan perbuatan itu namun tertekan ketika mahu menyediakan dan menyerahkan dokumen kepada SPRM.


Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib, memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan.


“Sebagai ahli politik, tertuduh sepatutnya menjadi contoh kepada anak muda lain untuk menjadi orang yang bertanggungjawab sebaliknya dia memberi dokumen palsu kepada SPRM bagi melepaskan diri,” katanya.


Seramai 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.


Adam bersalah terhadap pertuduhan pertama dan kedua kerana memberi pernyataan palsu ketika percakapannya dirakam dua pegawai penyiasat SPRM.


Pernyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, sumber pendapatan, hasil jualan kenderaan, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang daripada ah long RM500,000 dan pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua dan neneknya.


Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, antara jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari pada 10 Februari 2017 dan antara jam 9 pagi hingga 2 petang, pada 22 Februari 2017.


Adam turut disabitkan dengan pertuduhan ketiga hingga keenam iaitu menggunakan dokumen palsu  dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu serta dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM.


Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]