Gesa SPRM siasat calon PKR

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Aktivis Parti Rakyat Malaysia (PRM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berhubung penipuan berkaitan tender pengurusan pasir yang didakwa didalangi seorang ahli PKR yang baharu diumumkan sebagai calon Dun Selangor pada PRU14.


Pegawai Terlatih dalam bidang Undang-undang (paralegal) yang mewakili PRM, Khalid Mohd Ismath berkata, selain dakwaan penipuan tersebut, calon PKR terbabit juga didakwa turut menubuhkan sebuah syarikat iaitu Kumpulan Semesta PLT Sdn Bhd bagi menipu individu serta pemaju atau kontraktor yang memohon tender pengurusan pasir di Selangor.


Beliau berkata, maklumat  itu didedahkan oleh seorang pekerja yang juga pegawai kepada calon PKR tersebut menerusi satu akuan bersumpah pada 20 Mac 2017.


“Berdasarkan akuan bersumpah itu, pekerja terbabit mendakwa dia dipaksa oleh calon PKR berkenaan untuk menubuhkan syarikat terbabit yang menyerupai nama sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berfungsi menguruskan projek-projek tender pengurusan pasir dan sebagainya.


“Pekerja itu mendakwa tujuan syarikat klon itu ditubuhkan bagi mengelirukan pemohon-pemohon tender khususnya berhubung penawaran projek pasir, selain beliau turut dipaksa untuk membuat kutipan bayaran daripada pemohon tender melibatkan ratusan ribu ringgit,” katanya pada sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat SPRM Selangor, di sini, semalam.


Menurutnya, penipuan itu akhirnya terbongkar selepas pemohon-pemohon tender yang menjadi mangsa sejak beberapa tahun lalu membuat semakan dengan syarikat GLC yang sebenar bagi mendapat maklum balas berhubung projek dipohon, sebelum dimaklumkan perkara itu tiada kaitan dengan syarikat terbabit.


Terdahulu, Khalid bersama beberapa wakil aktivis PRM hadir ke Pejabat SPRM Selangor untuk membuat laporan kira-kira jam 11.30 pagi.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]