Muka baharu mahu bawa kemenangan

in Edisi Pahang by


KUANTAN –  Muka baharu yang diketengahkan BN Pahang pada PRU14 kali ini nekad akan membawa kemenangan kepada parti.


Bagi calon Dun Teruntum, Tee Choon Ser ,pengalaman dalam parti sejak 2004  banyak membantunya melaksanakan gerak kerja memenangi hati pengundi.


Menurutnya, dia yang sudah turun padang sejak beberapa tahun lalu cukup  memahami kehendak pengundi di Teruntum.


“Saya berterima kasih kepada pucuk  pimpinan yang mencalonkan saya. Saya mahu merampas kerusi Dun Teruntum demi parti,”katanya kepada Sinar Harian.


Choon Ser yang masih bujang itu berkata, sebagai calon wanita   muda , dia melihat faktor itu  menjadi kelebihan bekerja untuk rakyat.


Bagi calon Parlimen Indera Mahkota, Datuk Dr Johan Mat Sah turut melahirkan rasa syukur dengan pencalonan oleh parti.


Katanya, masyarakat di Indera Mahkota  tidak asing kepadanya kerana sudah lama turun padang di kawasan.


“Kita mengambil pendekatan ke rumah – rumah pengundi sejak dahulu lagi dan sentiasa mendapatkan bantuan apabila ditimpa bencana.


“Justeru, saya yakin pendekatan yang digunakan itu mampu memenuhi kehendak mereka,”katanya.


Sementara itu, calon Dun Beserah, Datuk Suhaimi Sulong, 48,  tidak menyangka dipilih sebagai calon namun sebagai ahli parti sentiasa bersiap sedia dengan gerak kerja tersusun demi kemenangan BN di kawasan tersebut.


“Saya akui  terkejut kerana tidak dimaklumkan mengenai kriteria calon namun kini saya akan memberi fokus yang holistik bagi kemenangan BN pada PRU14, 9 Mei ini,” katanya,


Seramai 20 calon baharu BN negeri akan bertanding pada PRU14 menyatakan komitmen mempertahankan kerusi Parlimen dan Dun yang dimenangi selain merampas kembali kerusi kalah daripada pembangkang.


Antara muka baharu yang dipertaruhkan ialah enam di Parlimen iaitu di Cameron Highlands, Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar dan Temerloh manakala di Dun membabitkan 14 kerusi seperti Tanah Rata, Cheka, Tras, Damak, Pulau Tawar, Beserah, Semambu, Teruntum, Lepar, Mentakab, Kuala Semantan, Bilut, Ketari dan Muadzam Shah.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]