Petani kontrak Fama bakal diperluas

in Edisi Utara by


KULIM – Peningkatan lebih 10 peratus sejak tiga tahun lalu dalam penghasilan dan pemasaran produk membuktikan petani kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mampu mengatasi ketidakbolehan pasaran.


Ketua Pengarah Fama,  Datuk Ahmad Ishak berkata, peningkatan yang ditunjukkan oleh golongan petani ini membuktikan program tersebut boleh diperluaskan lagi pada masa akan datang.


Menurutnya, banyak faedah yang diperoleh peserta program ini termasuk peluang meluaskan pasaran hasil mereka dan lebih untung tanpa menggunakan orang tengah.


“Petani sekarang adalah 5,000 peserta dengan keluasan tanah 10,000 hektar untuk anggaran pengeluaran hasil sebanyak 400,000 tan metrik.


“Dengan jumlah ini juga membolehkan kita menjual produk hasil tani pada harga ladang dan setakat ini mencapai RM800 juta jualan.


“Melihat keadaan ini kita merasakan petani kontrak Fama ini boleh diperluaskan dan memberi peluang kepada petani lain yang menghadapi masalah pemasaran hasil secara terus tanpa orang tengah,” katanya.  


Beliau berkata, peserta petani kontrak ini juga diberi garis panduan khusus jenis tanaman, di mana dan bila tanaman tersebut dilakukan supaya permintaan dapat dipenuhi setiap masa.


“Melalui jadual khas yang ditetapkan, kita berjaya memastikan semua produk petani ini dipasarkan dan mendapat pulangan tinggi.  


“Bukan itu saja, kita juga membantu dengan menetapkan harga lantai bagi produk tertentu seperti cili dan timun bagi mengawal harga di pasaran,” katanya.  


Ahmad juga menjelaskan, selain memenuhi keperluan bahan mentah kepada institusi terutama pengilang,  petani kontrak Fama juga berpotensi dalam memenuhi keperluan eksport negara.  


“Paling utama, mereka ini dapat menjual terus dari ladang atau di pasaran dengan harga lebih berbaloi tanpa orang tengah,” katanya.  


Selain itu, petani kontrak Fama, Hasnizan Shaari, 41, amat gembira kerana diberi ruang untuk memasarkan hasil pertaniannya secara terus kepada pengguna.


“Sebelum ini saya jual kepada Fama, tapi bila dapat ruang niaga ini saya dapat jual terus kepada pengguna. Pendapatan pun dapat ditingkatkan kerana saya jual mengikut harga pasaran runcit bukan lagi borong.


“Tapi saya masih memastikan hasil pertanian dijual dengan harga lebih murah berbanding pasaran, dan lebih segar,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]