Polis jamin KL selamat pada hari penamaan calon

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur memberi jaminan keselamatan di semua lokasi Pusat Penamaan Calon di 12 Parlimen di ibu negara sempena Hari Penamaan Calon PRU14 Sabtu ini.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, meskipun terdapat beberapa lokasi panas dikenal pasti, namun pihaknya bersedia dan yakin dengan penugasan pegawai dan anggota yang ada mampu mengawal lokasi-lokasi berkenaan.


“Saya tidak mahu sebut kawasan panas kerana kita sudah menjadikan kawasan tersebut selamat. Kami sudah bersiap sedia untuk laksanakan tugas dengan syarat mereka dapat bekerjasama dan patuh arahan pihak polis.


“Cuma kami nasihatkan parti yang membawa calon mereka untuk bekerjasama dengan polis serta mengawal penyokong dan pengikut mereka kerana tidak mahu ada pertembungan serta kata-mengata antara penyokong masing-masing. Saya rasa ketua polis daerah telah memanggil mereka ini dan memberi nasihat berkaitan perkara terbabit,” katanya selepas Sambutan Hari Ulang Tahun Kor Kadet Polis ke-48 Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pagi tadi.


Sementara itu, Mazlan berkata, sebanyak 2,693 pegawai dan anggota polis serta kakitangan awam akan bertugas seawal 6 pagi pada Hari Penamaan Calon tersebut bagi memastikan proses tersebut berjalan lancar.


Ujarnya, daripada jumlah itu, 361 terdiri daripada pegawai, 2,303 anggota dan 29 kakitangan awam yang akan mengawal di enam daerah iaitu Sentul, Wangsa Maju, Brickfields, Dang Wangi, Cheras serta Putrajaya berdasarkan 12 Parlimen yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


“Kami menasihatkan semua pihak yang terlibat untuk hadir ke Pusat Penamaan Calon lebih awal dan tidak menunggu di saat akhir,”katanya.


Terdahulu, beliau meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Kor Kadet Polis yang disertai 450 kadet polis di sekitar Kuala Lumpur yang mewakili keseluruhan kira-kira 6,000 kadet polis bagi kontinjen terbabit.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]