Real belum selamat: Zidane

in Sukan by


PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane belum menganggap pasukan bimbingannya sudah mengetepikan Bayern Munich walaupun menang 2-1 dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara Juara Eropah di laman lawan awal pagi tadi.


Walaupun memiliki kelebihan yang kecil, namun jurulatih yang berasal dari Perancis itu mahu anak buahnya mengambil ikhtibar daripada aksi menentang Juventus di suku akhir sebelum ini apabila kelab gergasi Itali itu bangkit daripada kekalahan 0-3 di Turin dengan menewaskan mereka 1-3 di Madrid.


Justeru itu katanya, Real masih belum selamat walaupun memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri pada aksi kedua separuh akhir minggu depan.


“Kami perlu berjuang habis-habisan pada aksi kedua nanti kerana tiada keputusan muktamad lagi sama seperti ketika menentang Juventus tempoh hari.


“Saya percaya kami akan dikerah sekali lagi, jadi kami perlu melayan Bayern dengan cara yang berbeza di gelanggang sendiri kerana jika tidak, kami mungkin akan memperoleh keputusan yang buruk minggu depan,” katanya.


Tuan rumah mendahului perlawanan di Allianz Arena menerusi Joshua Kimmich tetapi Marcelo menyamakan kedudukan sebelum rehat.


Marco Asensio yang masuk selaku pemain gantian kemudian meledak gol kemenangan berpunca daripada serangan balas pantas untuk mengesahkan kemenangan keenam berturut-turut gergasi Sepanyol itu ke atas Bayern di peringkat kalah mati di Eropah.


“Kami tidak boleh gembira dengan keputusan ini, kami berdepan kesukaran pada awal permainan untuk memainkan corak permainan kami.


“Tidak mudah untuk datang dan menang di sini, kami boleh melakukan lebih baik, tetapi kami gembira dengan keputusan,” tambah Zidane.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]