RKAT penuhi keperluan perumahan anggota ATM

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Projek Rumah Keluarga Anggota Tentera (RKAT) baharu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, di sini sebahagian daripada perancangan besar Kementerian Pertahanan bagi memenuhi keperluan perumahan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara.


RKAT Pangkalan Udara Kuantan melibatkan 94 unit rumah kelas E, F dan G yang dibina sejak 2013 siap sepenuhnya Januari lalu dengan kos RM130 juta.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kompleks perumahan yang disediakan untuk anggota pangkat rendah hingga Pegawai Waran itu antara 9,096 RKAT yang siap dan sedang dibina di seluruh negara.


Secara keseluruhan, katanya, pihak kementerian akan membina 40, 627 unit RKAT dalam tempoh sehingga 2030.


“RKAT baru ini merupakan sebahagian daripada penyusunan strategik perpindahan Pangkalan Udara Kuala Lumpur ke Kuantan.


“Projek perumahan ini antara empat fokus digariskan dalam blue print perumahan yang dilancarkan sebelum ini termasuk Program Satu Anggota Satu Rumah (ASAaR), Program baik pulih rumah veteran 1Malaysia dan Program Rumah Idaman,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian RKAT dan Majlis Ramah Mesra Bersama warga ATM di Pangkalan TUDM Kuantan di sini, hari ini.


Turut hadir, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima TUDM, Janeral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi.


Kira-kira 2,000 pegawai dan anggota ATM, TUDM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk veteran hadir pada majlis itu.


Sementara itu, Hishammuddin berkata, kementeriannya tidak pernah berhenti berusaha sebaliknya sentiasa melaksanakan perancangan terbaik demi keselesaan dan kesejahteraan warga ATM.


“Tekad dan ikrar kita untuk membantu setiap keluarga anggota agar mereka berpeluang mendiami rumah yang selesa.


“Ini bukti kerajaan khususnya kementerian yang sentiasa memberikan komitmen secara berterusan demi memenuhi keperluan rakyat,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan sudah mengenal pasti 38 sekolah dalam kem tentera di seluruh negara yang akan dinaik taraf secara berperingkat dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.


Menurutnya, keputusan itu bagi memastikan anak pegawai dan anggota tentera mendapat kemudahan lebih selesa untuk proses pembelajaran mereka.


“Buat masa ini, kita sudah kenal pasti sekolah berkenaan. Semuanya ada 38 sekolah yang berada dalam kem tentera dan semuanya akan dinaik taraf membabitkan aspek keselesaan bilik darjah dan juga akses internet.


“Kita nak pastikan kemudahan semua sekolah ini setanding dengan sekolah biasa yang berada di luar kem. Kita mengambil kira sumbangan pegawai dan anggota yang sanggup berkorban untuk menjaga keselamatan negara. Jadi, kenalah sediakan kemudahan terbaik kepada anak-anak mereka,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]