Babi berkeliaran sekitar kawasan kampung

in Edisi by


IPOH – Penduduk Kampung Cik Zainal, Chemor memohon pihak berwajib untuk sekali lagi bertindak bagi menangani masalah ‘pencerobohan’  babi yang didapati berkeliaran di sekitar kawasan kampung berkenaan sejak kebelakangan ini.


Difahamkan, babi-babi berkenaan akan muncul secara berkumpulan di sekitar kampung  tanpa mengira waktu dan ini sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk berhubung perkara berkenaan.


Menurut penduduk kampung, biarpun  beberapa tindakan telah dilaksanakan oleh pihak berwajib bagi mengatasi masalah berkenaan  sejak 2015, namun masalah berkenaan (pencerobohan babi) masih berulang dan kali ini ia lebih kerap berlaku.


Malah kali ini, babi-babi berkenaan dilihat semakin berani untuk muncul di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu dan paling membimbangkan ada babi yang boleh ditemui di kawasan rumah penduduk  yang tidak berpagar.


Tinjauan Sinar Harian ke kampung berkenaan, pencerobohan babi itu sememangnya berlaku berdasarkan kepada kerosakan khususnya kepada tanaman yang diusahakan penduduk di rumah masing-masing.


Penduduk Sahudin Mat Johor 63 berkata, babi-babi berkenaan kebiasaannya akan muncul pada hari kutipan sampah dijalankan oleh pihak berwajib iaitu pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.


Katanya, pada hari berkenaan, babi-babi ini boleh dilihat berkeliaran di sekitar kawasan kampung dan kemunculannya adalah secara berkumpulan dipercayai mencari sisa-sisa makanan terbuang di kawasan-kawasan longgokan sampah.


“Biasanya bila longgok sampah untuk dikutip, masa tu lah boleh jumpa babi-babi ni. Biasanya longgok sampah hari Selasa, Khamis dan Sabtu. Pada masa nilah babi-babi ini akan keluar, cari makan agaknya.

Dari kiri: Sahudin, Norlizawati, Azizah


“Saya sendiri sering terserempak dengan kumpulan babi-babi ini terutamanya ketika mahu ke masjid berdekatan pada waktu Subuh. Biasanya, babi-babi ini akan lari bertempiaran bila nampak kita,” katanya kepada Sinar Harian.


Selain itu menurut Sahudin, penduduk kampung sudah pun membuat aduan berhubung perkara berkenaan dan tindakan susulan sudah pun dibuat oleh pihak berwajib bagi menangani permasalahan berkenaan.


Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan masih berlaku (babi memasuki kawasan kampung) dan ia secara tidak langsung telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.


“Perkara ini kita dah laporkan tetapi pihak berkenaan kata, mereka dah ambil tindakan. Namun, babi-babi ini dilihat masih lagi memasuki ke kampung ini dan lebih membimbangkan mereka (babi) akan masuk dengan bilangan yang banyak.


“Malah saya juga ada mendengar keluhan daripada penduduk di sini yang sering terserempak dengan babi yang sudah ‘berani’ berkeliaran sehingga di hadapan pintu rumah. Maklum sahajalah, rumah kampung di sini banyak yang tidak berpagar,” katanya.


Tambah Sahudin lagi, pihaknya juga sangat berharap agar perkara berkenaan dapat ditangani sebaiknya atau diatasi oleh pihak berwajib berikutan bulan puasa akan menjelang tidak lama lagi.


Katanya, jika perkara berkenaan tidak dapat ditangani, dikhuatiri ia akan menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung yang kebiasaannya akan ke surau atau masjid berdekatan untuk beribadah khususnya solat tarawih.


“Bulan puasa dah dekat dan biasanya surau atau masjid akan penuh dengan orang ramai, khususnya untuk solat tarawih, bertadarus, moreh dan sebagainya.


“Tetapi seperti yang saya katakan tadi, babi-babi ini akan keluar dan memasuki kampung tanpa mengira waktu dan dikhuatiri pada waktu malam babi-babi ini akan muncul pula di surau atau masjid berikutan terhidu bau hidangan makanan yang disediakan.


“Lebih membimbangkan apabila orang ramai yang mahu ke surau atau masjid terserempak dengan babi-babi ini di tengah jalan. Tak ke haru jadinya nanti?


“Jadi saya berharap sangatlah supaya perkara ini diberikan perhatian serius oleh pihak yang berwajib demi menjamin kesejahteraan penduduk di Kampung Cik Zainal ini, ” katanya lagi kepada Sinar Harian.

Kehadiran babi ini secara tidak langsung mengganggu rutin harian penduduk. – Foto ihsan pembaca Sinar Harian


Pendapat itu turut dipersetujui oleh seorang lagi penduduk, Norlizawati Mohd Auni, 40 yang mengakui pernah terserempak dengan babi ini di hadapan pintu pagar rumahnya pada waktu pagi baru-baru ni.


Katanya, dianggarkan lebih lima ekor babi dengan saiz badan yang agak besar berada di luar pagar rumahnya pada ketika itu.


“Saya tak boleh lupa pengalaman terserempak dengan babi  di depan rumah. Waktu itu, saya nak keluar rumah untuk ke tempat kerja. Bila buka pintu rumah, saya terkejut bila melihat beberapa ekor babi berada di luar pagar rumah.


“Mujurlah, bila saya menghalau, kesemua babi tersebut bertempiaran lari. Namun, saya perhatikan semua babi itu tidak terus lari memasuki hutan berdekatan, tetapi ada yang lari dan berselindung di sebalik pokok-pokok yang berdekatan.


“Maknanya, babi-babi ni tidak takut kepada manusia lagi, Inilah perkara yang memang membuatkan saya risau. Bimbang kalau-kalau babi-babi itu bertindak ganas kepada penduduk kampung, manalah kita tahu, kan?” katanya.


Tambah Norlizawati, suaminya juga sering terserempak dengan sekumpulan babi berkenaan sekitar 3 hingga 4 pagi ketika mahu ke pasar borong .


Bagaimanapun menurutnya  mujurlah sehingga ke hari ini masih belum berlaku insiden-insiden yang tidak diingini ketika terserempak dengan babi-babi berkenaan.


“Suami saya juga sering memberitahu saya dia sering terserempak dengan babi-babi ini berkeliaran pada waktu awal pagi ketika mahu ke pasar borong.


“Oleh itu, saya berharap sangat agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Risau kalau berlaku apa-apa yang tidak diingini nanti,” katanya.


Masalah belum temui penyelesaian


Seorang lagi penduduk, Azizah Abd Hamid, 48 berkata, pada 2015 lalu aduan berhubung babi-babi yang berkeliaran di kampung berkenaan berkenaan sudah pun dibuat.


Namun katanya, masalah berkenaan tidak dapat diselesaikan sepenuhnya dan kumpulan babi-babi ini kembali memasuki kampung ini.


“Daripada apa yang saya dengar, babi-babi ini sudah mula kelihatan di merata-rata tempat di kampung ini. Ada yang kata jumpa babi ni di hujung kampung, di tengah jalan raya dan sebagainya.


“Difahamkan juga, babi-babi ini akan muncul secara berkumpulan dan boleh dilihat berada di beberapa kawasan di sekitar kampung ini.


“Oleh itu, kami berharap sangat perkara ini diberikan perhatian serius. Bukan apa, kita cuma bimbangkan keselamatan penduduk kampung, termasuklah keluarga kita sendiri.


“Harapan kami, semoga masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin termasuklah pemantauan secara berterusan agar perkara seperti ini tidak lagi berulang,” katanya lagi.


Penyelesaian menyeluruh


Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Nazri Muhamed Yusof, 55, berharap agar pihak berwajib dapat bertindak segara sebelum ada insiden penduduk kampung berkenaan yang cedera atau menemui maut akibat disondol babi.


Katanya, perkara berkenaan bukanlah perkara main-main kerana ia sudah melibatkan kemasukan berpuluh ekor babi ke kampung berkenaan hingga menyebabkan penduduk sentiasa bimbangkan keselamatan diri masing-masing.


“Kita takut ada orang jadi mangsa disondol oleh babi-babi ini nanti. Lagipun, isu ini sudah terlalu lama dan diharap pihak berkuasa dapat segera bertindak.


“Bukan seekor dua, tetapi sudah berpuluh ekor babi yang berkeliaran di sekitar kampung ini. Oleh itu, kita memang bimbang dengan keselamatan terutamanya bagi kanak-kanak yang sering bermain-main di luar rumah.


Sementara itu, pihak Perhilitan Negeri Perak ketika dihubungi menegaskan bahawa anggotanya telah diarahkan ke kampung berkenaan bagi membantu menangani permasalahan yang dihadapi penduduk.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]