Bot asing kibar Jalur Gemilang elak dicekup

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Taktik dua bot nelayan Vietnam yang menyamar sebagai nelayan tempatan dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang gagal, apabila berjaya dipatahkan dan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), semalam.


Dalam tangkapan itu, Maritim DM9 Kuala Terengganu berjaya menahan 20 nelayan yang berusia antara 22 hingga 51 tahun serta merampas pelbagai jenis ikan, minyak diesel, peralatan menangkap ikan dan bot dengan nilai keseluruhan RM2 juta.


Pengarah Maritim DM9 Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, bot pertama ditahan kira-kira jam 2.30 petang pada kedudukan 38 batu nautika dan bot kedua pada jam 5.08 petang di kedudukan 44 batu nautika dari muara Kuala Terengganu ketika mereka sedang asyik menunda pukat.


“Hasil pemeriksaan lanjut pada bot pertama, kita berjaya menahan 12 nelayan Vietnam termasuk tekong berusia 35 tahun manakala lapan lagi nelayan termasuk tekong berusia 46 tahun dalam bot kedua.


“Kita juga dapati hanya tiga daripada 20 nelayan yang ditahan mempunyai dokumen pengenalan diri, manakala selebihnya gagal mengemukakan dokumen,” katanya ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di Pejabat Maritim DM9 Terengganu di sini, hari ini.


Jelas Rahim, bot berkenaan tidak mempunyai lesen serta permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara.


Kesemua mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke jeti DM9 untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.


Selain itu, mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 14 (3) akta sama dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.


“Maritim sentiasa melakukan rondaan berkala bagi memastikan perairan negara tidak terus dicerobohi nelayan asing.


“Pada masa yang sama, kami memerlukan kerjasama semua pihak, terutamanya nelayan tempatan dalam melaporkan kegiatan nelayan asing ini, bagi mengelak mereka mengaut keuntungan dengan menceroboh perairan negara,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]