Idam 'giant killer' kedua

in Edisi Terengganu by


MARANG – Calon BN di Parlimen Marang, Mohamad Nor Endut yang menentang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyahut cabaran untuk menjadi ‘giant killer’ kedua selepas Datuk Seri Abdul Rahman Bakar.


Sebelum ini, Abdul Rahman pernah mengalahkan Abdul Hadi sebanyak dua kali iaitu dalam PRU 1986 dan 2004 sehingga beliau digelar sebagai ‘giant killer’ oleh penyokong dan ahli parti berkenaan.


Mohamad Nor juga anak didik Abdul Rahman berkata, beliau tidak menyangka dipilih bertanding di Parlimen Marang namun akan menggalas tanggungjawab pucuk pimpinan parti dengan sepenuh hatinya.


“Saya tetap bersemangat tinggi dan saya yakin kerana sudah lama calon P037 Parlimen Marang dikuasai Pas. Saya mengharapkan pada kali ini rakyat turun memberi perubahan, memberi ruang pada BN.


“Beri ruang kepada BN mengembalikan kekuatan dalam Parlimen Marang dalam usaha memastikan pembangunan fizikal dan spiritual rakyat akan dapat diberikan dalam satu legasi baharu,” katanya.


Beliau juga memaklumkan tidak merasa tertekan untuk berhadapan pemimpin nombor satu Pas di Parlimen Marang walaupun ia dikenali sebagai kubu kuat parti.


“Saya tidak merasa apa-apa tekanan kerana kita mempunyai jentera yang cukup.  Soalnya, apakah relevan kepada kita untuk terus berada dalam kepimpinan pembangkang (di Parlimen Marang).


“Kenapa tidak dalam pilihan raya ini kita pulang kembali untuk berada di dalam Parlimen BN.


“Saya akan meneruskan perjuangan ini semampu mungkin untuk pastikan saya diumumkan calon yang menang,” katanya.


Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Marang, termasuk di kawasan Dun kalah dan memberi jaminan keadaan akan lebih baik sekiranya BN menang.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]