Jadikan Kit Siang wakil rakyat terakhir di Gelang Patah

in Edisi by


GELANG PATAH – Pengundi di Iskandar Puteri dinasihat memilih wakil rakyat BN pada PRU14 untuk memastikan segala bentuk pembangunan pesat dapat terus dilaksanakan di kawasan berkenaan.


Pengerusi negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berikutan itu, penyandang kerusi Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang perlu dijadikan sebagai wakil rakyat terakhir di kawasan berkenaan.


Menurutnya, PRU14 juga turut menyaksikan Datuk Jason Teoh Sew Hock sebagai wakil rakyat pertama selepas Parlimen itu kini dikenali Iskandar Puteri.


“Kita perlukan kemenangan ini, sama ada di peringkat Parlimen atau Dun. Ini kerana kita mempunyai perancangan besar untuk negeri Johor. “Saya pasti dan yakin orang Gelang Patah akan menangkan anak jati Gelang Patah, jika mereka (calon BN) anak tempatan di sini tidak menang di Gelang Patah sebagai orang Gelang Patah, di mana mereka hendak bertanding dan menang?


“Tiada tempat lain. Maka di sinilah (Iskandar Puteri). Inilah cabaran orang Gelang Patah. Bukan setakat kita bersemangat dan bertempik kuat, tetapi yang penting undi kita adalah untuk calon tempatan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Fasa Lima Taman Nusantara dan Taman Pulai Emas di sini, hari ini.


Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Gelang Patah yang juga calon Dun Kota Iskandar, Mohammad Khairi A Malik; calon BN bagi kerusi Parlimen Iskandar Puteri, Jason dan calon BN bagi kerusi Dun Skudai, Datuk S Kanan.


Mohamed Khaled berkata, beliau yakin pengundi di Iskandar Puteri tidak akan memilih lagi calon nomad (Kit Siang) yang masih mahu mempertahankan kerusi itu pada PRU14.


“Atas sebab itu, kita perlu pasti menangkan semua calon BN dalam PRU akan datang. Ini kerana, banyak lagi agenda yang perlu kita buat..banyak lagi perkara yang kita mulakan, kita perlu teruskan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]