Kelana Jaya semakin maju

in Nasional by


KELANA JAYA – Kelana Jaya atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Sea Port merupakan kawasan yang terletak dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).


Selain itu, Kelana Jaya juga antara kawasan tumpuan yang pesat membangun bagi pelaburan, perindustrian, pendidikan dan perumahan.


Memandangkan Kelana Jaya juga terletak di lokasi strategik antara Kuala Lumpur dan Shah Alam, maka ia sekali gus membuka banyak peluang pelaburan dari dalam dan luar negara.


Pertumbuhan kawasan perindustrian yang semakin pesat turut mendorong kerajaan untuk meneroka pertumbuhan kawasan perindustrian baharu di Petaling Jaya yang melibatkan Kelana Jaya.


Malah, sambutan yang baik daripada pelabur juga telah membuka ruang kepada penubuhan Zon Perdagangan Bebas di kawasan Sungai Way.       


Antara kilang yang terdapat di Kelana Jaya adalah Western Digital, Omron Malaysia Sdn Bhd, Trio Tech (M) Sdn Bhd dan lain-lain lagi.


Selain menjadi kawasan tumpuan perindustrian, Kelana Jaya juga mempunyai beberapa kawasan rekreasi yang menarik dan menjadi tumpuan masyarakat.


Taman Bandaran Kelana Jaya, antara taman terbesar dan sangat dikenali, malah ia turut mempunyai tujuh tasik dengan kepelbagaian kemudahan melibatkan trek joging dan sebagainya.


Selain itu, taman berkenaan turut mempunyai pusat renang bersaiz olimpik, gelanggang tenis, gelanggang badminton, kemudahan alatan sukan dan lain-lain lagi.


Bersebelahan taman itu juga terletak Stadium MBPJ yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan pada suatu ketika dahulu pernah digunakan semasa penganjuran Sukan Komanwel di Malaysia pada 1998.


Kelana Jaya juga menjadi tumpuan bagi aspek pendidikan di sini, apabila wujudnya pelbagai pusat pengajian melibatkan sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).


Kewujudan pusat-pusat pengajian berkenaan membantu melonjakkan kawasan Kelana Jaya untuk menjadi pusat tumpuan masyarakat dengan pertumbuhan ekonomi yang baik menerusi pembinaan banyak pusat beli-belah.


Antara pusat beli-belah dan perniagaan yang terdapat di sini ialah Paradigm Mall, Giant dan Kelana Center Point.


Berikutan Kelana Jaya adalah kawasan strategik, ia sekali gus telah memberikan akses yang mudah kepada masyarakat dari pelbagai arah.


Laluan ke Kelana Jaya membabitkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Penchala Link.


Dari segi kemudahan pengangkutan awam, bas, teksi dan Aliran Transit Ringan (LRT) merupakan medium pengangkutan yang digunakan oleh masyarakat setempat di sini, untuk bergerak pada setiap hari.


Dengan adanya penyediaan kemudahan menarik dan memuaskan, ia secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong asing mahupun tempatan ke kawasan ini yang dilihat dapat memberi kesan positif seperti perkembangan ekonomi yang baik.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]