Musyawarah selesaikan masalah

in Edisi by


LEKIR – Hasil usahasama dan perbincangan pelbagai pihak termasuk penduduk setempat, akhirnya seramai 331 penerima telah terpilih untuk menerima surat tawaran kelulusan lot Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Sungai Tiram Lekir.


Lebih bermakna apabila majlis penyerahan itu disempurnakan sendiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis khas yang diadakan semalam.


Dalam ucapannya Zambry turut mengucapkan tahniah kepada penerima kerana berjaya mencapai kata sepakat bagi mencari penyelesaian terhadap isu tanah berkenaan.


Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk membuat keputusan secara adil melalui konsep perbincangan melibatkan semua pihak.

Zambry menyerahkan surat tawaran kepada penerima.


“Kita telah mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak termasuklah dari penduduk sendiri kerana kita tidak mahu keputusan hanya di sebelah pihak sahaja.


“Setelah semua perbincangan selesai dan keputusan sudah dicapai akhirnya surat tawaran lot RPT ini berjaya dilaksanakan hari ini (semalam),” katanya.


Hadir sama penyandang kerusi Dun Pasir Panjang yang juga calon Dun berkenaan bagi PRU 14, Datuk Rashidi Ibrahim dan Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohammad Fariz Mohammad Hanip.


Zambry berkata, isu tanah berkenaan sudah lama berlaku yang perlu mendapat penyelesaian terbaik.


“Sebenarnya isu tanah ini sudah lama di mana dahulunya ia adalah tanah pertanian yang melibatkan beberapa orang.


“Setelah perbincangan dibuat kita bersetuju untuk memecahkan ia kepada lot-lot tertentu bagi memberi peluang kepada lebih ramai penerima,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]