Parlimen Parit semakin membangun

in Edisi by


PARIT – Biarpun terletak di kawasan luar bandar, Parlimen Parit mempunyai keunikan tersendiri kerana memiliki bandar yang sedang membangun di Seri Iskandar dan kawasan kampung tradisional di sekitar pekan.


Terkenal dengan dialek atau loghat yang menjadi mencerminkan identiti Perak, kawasan tersebut juga mempunyai sejarah tersendiri di sebalik pinggir Sungai Perak.


Berada kira-kira 30 kilometer dari Ipoh, pekan Parit yang terletak dipinggirkan Sungai Perak menjadi pentadbiran utama di daerah berkenaan sebelum Bandar Seri Iskandar mengambil alih pembangunan dengan adanya jalinan Jalan Ipoh- Lumut.


Timbalan Speaker Dun Perak, Datuk Nasaruddin Hashim berkata, keseluruhan pembangunan di kawasan Parlimen Parit dilaksanakan secara terancang tanpa meminggirkan mana-mana kawasan.


Katanya, pembangunan pesat di kawasan Seri Iskandar menjadikan ia sebagai kawasan tumpuan bagi Parlimen Parit ketika ini sekaligus membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar medan membentuk lebih ramai guna tenaga berkemahiran pada masa depan.


Beliau berkata, kewujudan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Profesional Mara, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) merancakkan lagi pembangunan di kawasan itu.


“Pembangunan yang dibawa kerajaan ini juga turut disambut baik swasta dengan kewujudan pusat perniagaan baharu seperti Seri Iskandar Business Center (SIBC).


“Dengan adanya kemudahan seperti ini, secara tidak langsung membuka banyak peluang perniagaan dan mewujudkan banyak pekerjaan baru untuk penduduk setempat khususnya di Parlimen Parit ini,” katanya.


Perumahan mampu milik


Di sebalik pelbagai peluang yang diwujudkan untuk penduduk, permintaan terhadap tempat tinggal pastinya meningkat kerana berlakunya penghijrahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar.


Nasaruddin berkata, kerajaan menyedari perkara itu dan sebagai langkah menangani masalah perumahan ini, pembangunan perumahan mampu milik di Seri Iskandar sudah pun dimulakan kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak 71 unit.


Katanya, selain itu, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) turut menyediakan 90 unit rumah di Seri Iskandar.


“Bukan itu sahaja, ada juga rumah dibangunkan swasta bagi memenuhi permintaan penduduk.


“Dengan adanya pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, secara tidak langsung keperluan bagi perumahan ini juga turut meningkat,” katanya.


Pacu sektor pertanian


Kerancakan pembangunan itu dilihat hampir sampai ke Pekan Parit walaupun kegiatan ekonomi penduduk banyak tertumpu dalam bidang pertanian yang kebanyakannya mengusahakan sawah.


Menurut Nasaruddin, dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 Julai lalu mengumunkan kawasan sawah padi seluas 3,160 hektar dalam kawasan Parlimen Parit akan dimasukkan dalam kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.

Kawasan Seri Iskandar Bisnes Center (SIBC) antara kebanggaan Parlimen Parit.


Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan pengeluaran padi di kawasan itu dapat ditingkatkan melalui konsep perladangan komersial serta meningkatkan pendapatan petani.


“Ketika ini, pengeluaran padi di kawasan itu mencecah lima tan semusim. Jadi sasaran lapan tan bagi semusim mampu dicapai jika infrastruktur pertanian ditambahbaik bagi kawasan ini.


“Perkara ini memang sudah disuarakan sejak sekian lama dan Alhamdulillah kerajaan mendengar keluhan ini sekaligus rakyat dapat manfaat,” katanya.


Beliau berkata, dengan adanya kemudahan tersebut, kawasan padi tersebut diusahakan kira-kira 400 penduduk dapat dipulihkan serta berdaya saing selain mengeluarkan hasil mengikut sasaran.


Menurutnya, IADA satu agensi yang mempunyai kepakaran dan fokus dalam industri penanaman padi setelah mengenalpasti sawah ini bergantung penuh dengan sumber air dari Sungai Perak.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]