Pembangunan Parlimen Parit kian rancak

in Edisi by


PARIT – Pelbagai pembangunan yang bakal dilaksanakan di Parlimen Parit tidak tertumpu kepada satu-satu kawasan sahaja seperti Seri Iskandar sebaliknya Pekan Parit turut diberikan perhatian bagi menghidupkan kembali pekan itu.


Calon BN bagi kerusi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, perancangan seperti pembinaan Arena Squere selain Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang sudah sedia ada sedikit sebanyak membantu dalam mengembangkan pekan itu.


Menurutnya, keadaan pembangunan di Seri Iskandar juga mampu memberi tempias kepada kawasan lain termasuklah Bota dan Pekan Parit sendiri.


“Kita sudah ada perancangan tertentu untuk pembangunan di kawasan Pekan Parit walaupun kita mempunyai kawasan yang terhad.


“Kawasan terhad itu akan digunakan sebaik mungkin bagi membantu menghidupkan Pekan Parit,” katanya.


Mohd Nizar yang juga penyandang kerusi Dun Belanja berkata, pihaknya masih lagi mengusahakan pelbagai pembangunan untuk kawasan parlimen berkenaan bagi memastikan rakyat lebih selesa.


“Kita tetap tidak puas hati dengan pembangunan yang sudah ada sekarang dan usaha berterusan akan tetap dilakukan bagi memastikan segala yang di rencana dapat berjalan lancar.


“Saya faham pelbagai persepsi politik yang telah dimainkan namun ia tidak membantutkan semangat dalam usaha memberi pembangunan kepada kawasan ini,” katanya.


Katanya, setiap pembangunan yang berlaku adalah bersesuaian dengan keadaan geografi dan persekitaran Parlimen Parit.


“Parlimen Parit boleh dikatakan memiliki kawasan persekitaran tertentu iaitu kawasan luar bandar dan pinggir bandar.


“Perkembangan pembangunan yang berlaku adalah bersesuaian dengan keadaan persekitaran dan tidak pernah dipinggirkan.


“Kita sentiasa berusaha melakukan pembangunan tidak kira dari segi pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya.


Katanya, dari segi kemudahan asas, Parlimen Parit tidak ketinggalan kerana mempunyai kemudahan yang serba lengkap.


“Kita ada jalan perhubungan yang baik, perkhidmatan kesihatan, sekolah, masjid dan rumah ibadat lain, dewan orang lain, bekalan elektrik dan sebagainya.


“Ini menunjukkan kerajaan tidak pernah meminggirkan kawasan ini dan ia membangun sesuai dengan keadaan persekitaran,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]