Polis Taiping pantau tujuh penyokong parti agresif

in Edisi by


TAIPING – Polis telah mengenalpasti tujuh individu yang dijangka mampu menimbulkan kekecohan sewaktu penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen pada PRU14 nanti.


Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, setakat ini pihaknya, mengenalpasti tujuh individu dari beberapa parti politik di daerah ini yang agresif dan dijangka mampu menimbulkan kekecohan sepanjang proses penamaan calon dan tempoh berkempen nanti.


Menurutnya, pihaknya kini sedang menjalankan pemantauan bagi memastikan dan menghalang individu ini dari bertindak sedemikian.


“Tujuh individu ini berada dalam pemantauan pihak polis bagi memastikan mereka tidak membuat kekecohan sewaktu penamaan calon esok dan sepanjang tempoh berkempen.


“Bagi hari penamaan calon esok dijangkakan seramai  8,000 penyokong dari Bukit Gantang membabitkan kesemua parti bertanding  akan memenuhi pekarangan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) manakala 5,000 penyokong bagi Parlimen Taiping pula dijangka memenuhi kawasan sekitar  Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).


“Justeru pihak polis telah menempatkan hampir 400 anggota berada di kawasan terbabit bagi memastikan kelancaran tanpa sebarang kekecohan berlaku sepanjang proses terbabit,” katanya dalam Perjumpaan/Taklimat Bersama Ketua Polis Daerah Taiping Kepada Calon/ Wakil PRU14 di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, di sini hari ini.


Dalam taklimat terbabit Mohamad turut menerangkan larangan yang ditetapkan pihak polis sepanjang proses penamaan calon dan ia termasuk penggunaan drone serta senjata tajam atau sebarang benda yang boleh mendatangkan kecederaan.


“Pihak polis juga akan  membuat pemeriksaan rapi terhadap beg yang dibawa serta turut memantau sebarang sepanduk berbentuk hasutan dan akan mengenakan tindakan kepada mana-mana individu atau pihak yang melangggar peraturan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]