Remaja maut terkena wayar lampu

in Edisi Utara by


BALIK PULAU – Seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik di hadapan rumahnya di Kuala Sungai Pinang, kira-kira jam 10.30 malam tadi.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kejadian itu disedari ibunya ketika baharu selesai mengerjakan solat maghrib.


Menurutnya, ibu mangsa berusia 57 tahun itu terkejut apabila terdengar mangsa menjerit lalu berlari keluar untuk melihat apa yang terjadi.


“Mangsa ditemui terbaring dengan wayar lampu berada di sebelahnya. Panik melihat anaknya yang tidak sedarkan diri, ibu mangsa meminta bantuan dari jiran untuk melihat keadaan anaknya.


“Mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau dengan ambulans namun telah disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya kepada media tadi.


Anbalagan berkata, punca kematian mangsa berusia 16 tahun dan tidak bersekolah itu disahkan kerana renjatan elektrik.


“Mangsa bekerja sebagai pembantu menjual ikan di pasar. Hasil bedah siasat mendapati, mangsa meninggal dunia kerana renjatan elektrik. Mayat mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pinang.


“Kita sedang menyiasat punca kejadian dan bagaimana wayar lampu itu berada di sebelah mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]