Semua calon, penyokong parti diingatkan jaga tatatertib

in Politik by


BAGAN DATUK – Semua calon dan penyokong parti yang bakal diumumkan sempena penamaan calon esok pagi diingatkan supaya mengutamakan tatatertib dan etika masing-masing.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjaga keamanan sekitar kawasan pusat penamaan calon.


“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua anggota keselamatan yang bertugas agar tidak memihak mana-mana pihak jika berlaku sebarang kekecohan atau kekacauan di kawasan pusat penamaan calon.


“Saya juga berharap apabila proses penamaan calon dilakukan tiada sebarang insiden berlaku di seluruh negara serta kekecohan dan arahan sudah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis Negeri bagi menjaga keamanan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melawat Waterfront Bagan Datuk, pagi tadi.


Tambahnya, walaupun berbeza pendapat politik semua tetap perlu menjaga etika masing-masing kerana seluruh negara sedang memerhatikan Malaysia ketika menghadapi proses PRU.


Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk berkata, pihaknya turut menerima makluman bahawa ramai individu telah membeli borang penamaan calon untuk bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14.


“Saya berharap penyokong mereka  sama ada ramai atau tidak supaya mengutamakan ketertiban ketika proses penamaan calon berlangsung,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]