Tawaran hebat Karangkraf di PBAKL 2018

in Nasional by


SHAH ALAM – Karangkraf untuk kesekian kalinya tampil dengan pelbagai tawaran hebat dan menarik khas buat peminat buku dan pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 yang bermula hari ini.


Pengarah Eksekutif (Penerbitan Buku dan Majalah) Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, pelbagai diskaun hebat termasuk untuk judul buku terbaru serta tawaran rebat pembelian dalam nilai tertentu boleh dinikmati pengunjung.


Selain itu, katanya, Karangkraf juga bakal membawakan lebih 30 judul buku terbaru pelbagai genre hasil karya pelbagai novelis sebagai pilihan segar kepada peminat buku dan novel.


“Pada PBAKL 2018, Karangkraf menawarkan pelbagai diskaun hebat, harga buku yang murah serta rebat menarik untuk harga tertentu bagi pembelian dalam satu resit.


“Selain itu, kita juga akan membawakan lebih 30 judul buku dan novel keluaran terbaru, memang banyak khas untuk pengunjung dan peminat buku pada pesta buku kali ini.


“Antara judul menarik yang kita akan bawakan ialah novel Rajuk Rindu karya ke-16 novelis terkenal, Aisya Sofea serta Banja Manggala yang merupakan hasil tangan terkini novelis thriller tanahair, Ramlee Awang Murshid,” katanya.


Selain itu, Firdaus berkata, peminat novel juga boleh mendapatkan baucar diskaun untuk novel keluaran terbaru yang terdapat di akhbar Sinar Harian untuk ditebus ketika PBAKL 2018.


“Untuk buku dan novel terbaru, orang ramai boleh membawa keratan baucar diskaun yang boleh didapati di dalam akhbar Sinar Harian untuk mendapatkan diskaun hebat ketika membeli novel pilihan anda.


“Baucar berkenaan bernilai antara RM3 hingga RM25 untuk setiap pembelian, malah kita juga ada sediakan baucar berkenaan untuk pembelian pelbagai judul buku dan al-Quran keluaran Karya Bestari, Alaf 21 dan sebagainya,” katanya.


Khas untuk pengunjung PBAKL 2018, reruai Karangkraf akan menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan serendah RM3 bagi pesta buku yang akan berlangsung selama dua minggu ini.


Pelbagai jenis bahan bacaan sesuai untuk pelbagai peringkat umur turut ditawarkan merangkumi pelbagai genre novel, buku akademik, al-Quran dan lain-lain.


Bagi ibu bapa yang mencari bahan bacaan untuk kanak-kanak, mereka boleh berkunjung ke reruai Karangkraf untuk mendapat Buku ‘Stiker’ Konsert Hora Horey Didi & Friends.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]