4 penjuru di Dun Hulu Kinta

in Uncategorized by


IPOH – Kerusi Dun Hulu Kinta menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, Pas, PKR dan bebas.


Bagi calon bebas kerusi Dun Hulu Kinta, S Murugiah, 53, berkata, dirinya mencalonkan diri bertanding untuk membantu rakyat di kawasan Dun Hulu Kinta.


Katanya, dia tidak begitu berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan wakil rakyat di kawasan itu untuk masyarakat India.


Katanya, dengan pertandingan ini dia berharap agar masyarakat India di Dun Hulu Kinta dapat memberikan sokongan.


“Kita tak ada masalah dengan BN sebab kita tahu Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Husni kerja dengan baik.


“Saya tak kisah kalau kalah dan hilang wang pertaruhan pun sebab saya nak tunjuk rasa tak puas hati untuk Dun Hulu Kinta,” katanya kepada media.


Murugiah yang merupakan ahli perniagaan berkata, dia tidak mempunyai keahlian mana-mana parti malah pencalonannya juga tidak didorong sesiapa.


Sementara itu, calon BN bagi Dun Hulu Kinta yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, beliau mengenali Murugiah kerana sering hadir program-program BN di peringkat Dun Hulu Kinta dan Parlimen Tambun.


Katanya, tindakan bertanding sebagai calon bebas bukan sesuatu yang mengejutkan tetapi agak pelik kerana keputusan dibuat seolah-olah ada yang tidak kena.


“Saya menghormati demokrasi dan terpulang kepada sesiapa untuk bertanding. Itu hak mereka dan saya berharap pertandingan diadakan secara sihat.


“Begitu juga dengan calon-calon lain, saya doakan agar semuanya berjalan lancar,” katanya.


Selain calon bebas tersebut, Dun Hulu Kinta menyaksikan pertandingan tiga ketua iaitu Aminuddin sebagai Ketua Umno Bahagian Tambun; calon PKR, Muhamad Arafat Varasai Mahamad yang merupakan Ketua Cabang PKR Tambun dan Yang Dipertua Pas Kawasan Tambun, Mat Salleh Said.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]