BN janji lebih banyak PPR akan dibina

in Edisi Selangor KL by


TANJONG KARANG – BN Selangor menjanjikan akan membangunkan lebih banyak projek perumahan rakyat (PPR) sekiranya berjaya menawan negeri ini pada PRU14 nanti.


Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar menjelaskan, kerajaan sudah dan sedang membina sebanyak 7,884 unit PPR di Selangor dengan kos peruntukan keseluruhan berjumlah RM743.12 juta.


Dari jumlah itu katanya yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 5,184 unit rumah PPR siap dibina, 900 unit sedang dibina dan 1,800 unit dalam perancangan.


“Usaha ini selari dengan hasrat perdana menteri yang mahu memastikan rakyat khususnya dalam Kumpulan B40 dan M40 dapat menikmati kemudahan perumahan.


“KPKT juga menyediakan pelbagai dana dan bantuan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), Skim MyDeposit, Skim MyHome, Skim Pinjaman Perumahan (SPP), Rumah Transit 1 Malaysia (RT1M) dan juga Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysia,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek PPR Sungai Yu yang turut dihadiri penyandang kerusi Dun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak.


Noh yang juga penyandang kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kerajaan meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM100 juta untuk membina 500 unit rumah PPR di Sungai Yu.


“Projek PPR Sungai Yu itu termasuk kemudahan seperti balai komuniti, tadika dan taska.  Kos bagi membina satu unit rumah PPR ini adalah sebanyak RM200,000 dan akan dijual hanya dengan harga RM35,000.


“Ini bermakna kerajaan BN memberi subsidi sebanyak RM165,000 untuk perunit demi bakal pembeli dalam kalangan rakyat Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.


Noh menegaskan, sudah menjadi hasratnya untuk membawa projek perumahan mampu milik untuk rakyat Tanjong Karang bagi mengenang jasa pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat.


“Saya pernah bercita-cita nak bawa projek rumah murah untuk penduduk Tanjong Karang dan apabila dilantik menjadi menteri KPKT, saya berpeluang untuk membawa projek PPR ini.


“Inilah tanda saya berterima kasih kepada penduduk yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi dan alhamdulillah, semua prosedur projek ini berjalan dengan lancar dan dijangka siap dalam dua tahun,” katanya.


Sementara itu, Sulaiman cukup berbesar hati apabila projek PPR dibangunkan di Dun Permatang sekali gus memberi satu berita baik buat penduduk Tanjong Karang.


“Inilah yang dinanti penduduk yang mahukan projek rumah mampu milik yang boleh dibeli dengan kos yang tidak membebankan dan saya percaya, projek PPR meringankan keperluan golongan yang memerlukan.


“Saya percaya usaha ini dapat menyelesaikan isu rumah mampu milik yang membelenggu penduduk kurang berkemampuan,” katanya yang memaklumkan empat projek PPR di Dun Permatang.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]