Calon Harapan Dun Kuala Balah hilang kelayakan

in Edisi by


JELI – Calon Pakatan Harapan (Harapan) Dun Kuala Balah, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran hilang kelayakan bertanding selepas pencalonan beliau dibatalkan pada saat akhir selepas diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi.


Sebelum ini nama beliau diumumkan Pengerusi Harapan Kelantan, Husam Musa sebagai calon gabungan pakatan berkenaan di Dun Kuala Balah.


Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jeli, Zulkifle Ab Rahman membuat pengumuman itu kira- kira jam 11.20 pagi tadi, dan dalam masa sama turut mengumumkan 11 calon yang layak bertanding pada PRU14 Parlimen Jeli 9 Mei ini.


Mohd Hafidz Rizal kemudian dilihat meninggalkan pekarangan pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli kira-kira jam 10.10 pagi.


Pembatalan kelayakan tersebut menyaksikan pertandingan satu lawan satu di kerusi Dun tersebut  antara penyandang, Datuk Abd Aziz Derashid (BN) dengan calon Pas, Mohd Apandi Mohamad.


Pada PRU13 lalu, Abd Aziz menewaskan calon PKR, Ramlan Mat dengan majoriti 2,076 undi apabila berjaya memperoleh 6,173 undi berbanding 4,079 yang diraih parti lawan.


Sementara itu, Parlimen Jeli bakal menyaksikan pertembungan tiga kerusi antara penyandangnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, calon Pas, Mohamad Hamid dan Azran Deraman dari Harapan.


Saingan tiga penjuru juga bakal disaksikan di Dun Ayer Lanas apabila penyandangnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed bakal berdepan Datuk Abdullah Ya’kub dari Pas dan Dr Aminuddin Yaacob dari Harapan.


Di Dun Bukit Bunga pula, penyandangnya, Datuk Mohd Adhan Kechik bakal berdepan calon Pas, Ramzi Mohd Yusoff dan calon Harapan, Asran Alias.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]