Dua pasangan adik-beradik tanding di Kuala Krai

in Edisi by


KUALA KRAI  – PRU14 mencipta sejarah di Kuala Krai apabila dua pasangan adik-beradik sah bertanding kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun.


Mereka ialah Ir Dr Mohd Yazid Abdullah (PKR) yang akan bertanding kerusi Parlimen Kuala Krai, manakala adiknya, Mohd Fauzi Abdullah merupakan calon Pas di Dun Manek Urai.


Satu lagi pasangan adik-beradik, Wan Mohamad Azlan Ahmad mewakili PKR bertanding di kerusi Dun Mengkebang sementara abangnya, Abd Aziz Ahmad, akan bertanding di Dun Guchil sebagai calon bebas.


Kesemua calon mengemukakan permohonan di Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.


Mohd Fauzi yang juga bekas Adun Manek Urai berkata, walaupun mempunyai pertalian agak rapat mereka menghormati perbezaan ideologi politik masing-masing.


Menurutnya, beliau sudah lama mendengar ura-ura abangnya yang juga bekas pegawai kerajaan akan bertanding pada PRU14.


“Bagaimanapun hanya beberapa hari menjelang hari penamaan baru sahih berita tersebut.


“Walaupun kami adik- beradik saya berharap pengundi menyokong calon Parlimen Pas, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman,” katanya ketika ditemui semasa penamaan calon, hari ini.


Sementara itu, Wan Mohamad Azlan berkata, biarpun mereka adik-beradik, dia dan abangnya mempunyai pandangan berbeza dalam politik menyebabkan mereka bertanding pada PRU kali ini.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]