Janji pertama Tun M di Langkawi

in Politik by


LANGKAWI – Dalam kempen pertamanya selepas disahkan sebagai calon Pakatan Harapan (Harapan) bagi kerusi Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji untuk menyelesaikan masalah kaum India.


Dalam dialog bersama masyarakat India di pulau itu, pengerusi Harapan itu berjanji akan memastikan kaum India di Malaysia tidak dipinggirkan.


“Saya diberitahu ramai orang dewasa tua banyak tiada IC kad biru tetapi IC kad merah. Kita akan cuba mereka dapatkan IC kad biru sebagai warganegara.


“Kita berjanji jika Harapan mendirikan kerajaan, kita akan buat banyak pertukaran dan bagi perhatian rakyat miskin keturunan India,” katanya dalam ucapannya dalam program anjuran Hindraf yang dihadiri kira-kira 200 orang itu.


Bekas perdana menteri itu berkata, terdapat banyak masalah kaum India dan sekiranya Harapan berjaya menubuhkan kerajaan, ia akan dapat diselesaikan.


“Saya akan adakan perjumpaan dengan kaum India seperti kaum Melayu, Cina untuk dengar masalah dan cari penyelesaian. Berikan peluang pekerjaan.


“Dalam Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) tidak ada keturunan India. Saya fikir ramai anak keturunan India boleh dilatih dalam hotel mewah di Langkawi.


“Kita cari peluang pekerjaan anak-anak India seperti anak Melayu, Cina. Ini janji yang boleh dibuat,” katanya diiringi dengan slogan ‘Hidup Tun’.


Sementara itu dalam acara keduanya, sembang santai dan dialog bersama pemandu pelancong Langkawi, Dr Mahathir berjanji akan mengekalkan pulau peranginan itu sebagai bebas cukai dan akan membela nasib pemandu teksi serat kereta sewa.


“Kita akan kekal Langkawi sebagai pulau bebas cukai.


“Selain itu, banyak lagi acara berprestij seperti Lima akan diwujudkan supaya lebih ramai pelancong datang, begitu juga pelabur membangunkan pulau cantik agar Langkawi jadi tarikan utama pelancong,” katanya.


Mahathir turut berjanji menghapuskan aplikasi e-hailing bagi membela nasib pemandu teksi dan kereta sewa.


“Masalah Grab ini bukan hanya Langkawi tapi seluruh Malaysia.


“Grab merugikan pemandu teksi biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada semua pihak, ini akan kita lakukan apabila kita ambil alih kerajaan nanti,” ujarnya.


Bagi meningkatkan jumlah pelancong luar negara ke Langkawi, beliau berkata, akan kaji syarat pendaratan pesawat antarabangsa secara terus, tidak perlu singgah di KLIA.


“Kita juga akan majukan gugusan pulau kecil di Langkawi untuk keselesaan pelancong yang berkunjung ke sini,” ujarnya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]