Jentera berat disita dilarikan

in Edisi Terengganu by


HULU BESUT-  Sekumpulan lelaki bertindak melarikan sebuah jentera berat yang disita kerana dipercayai terbabit pembalakan haram dalam kejadian di Ladang Felcra Keruak, Pasir Akar, di sini, semalam.


Kejadian kira-kira jam 12.30 malam dikatakan berlaku ketika sekumpulan pegawai dan anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sedang bertugas menjaga barang sitaan di kawasan berkenaan.


Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebanyak tiga  kenderaan pacuan empat roda dinaiki 15 lelaki tidak dikenali telah datang ke kawasan tersebut.


Menurutnya, mereka menghampiri jentera berat yang disita lalu menghidupkan sebelum melarikan jentera berat tersebut.


“Sebelum ini jentera berat itu disita oleh anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dalam satu operasi selepas dipercayai melakukan aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan berkenaan” katanya.


Mohd Zamri berkata, susulan kejadian itu, satu laporan dibuat oleh pegawai Jabatan Perhutanan negeri di Balai Polis Pasir Akar untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan mengesan suspek serta jentera terbabit.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]