Keputusan Mohd Puad tepat

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – Wanita Umno Bahagian Batu Pahat lega apabila Datuk Mohd Puad Zarkashi tidak muncul pada hari penamaan calon kerusi P150 Parlimen Batu Pahat di Pejabat Daerah Batu Pahat, semalam.   


Ketuanya yang juga calon Parlimen berkenaan, Haliza Abddullah berkata, Mohd Puad mengambil keputusan yang tepat kerana tidak bertanding di atas tiket bebas sebagaimana digembar-gemburkan sebelum ini.


Katanya, tindakan Mohd Puad itu menunjukkan beliau lebih mengutamakan parti berbanding kepentingan peribadi.


“Saya ucap terima kasih kepada beliau kerana akhirnya kemenangan parti menjadi keutamaan dan saya harap kerjasama akan terus terjalin selepas ini selama tempoh berkempen.


“Perkara yang penting sekarang ini ialah kemenangan parti demi membentuk sebuah kerajaan yang dapat berkhidmat demi kepentingan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.


Jelasnya, sehingga kini mereka masih lagi mengiktiraf Mohd Puad sebagai Ketua Umno Bahagian Batu Pahat.


“Saya telah berkhidmat selama 15 tahun dengan Umno Batu Pahat, bermula sebagai ahli puteri, menjadi ketua puteri sehinggalah jadi Ketua Wanita Bahagian Batu Pahat.


“Mohd Puad adalah ketua saya semenjak tahun 2004 lagi, jadi kami tidak mempunyai masalah antara satu sama lain,” katanya.


Katanya, beliau juga akan bertemu dengan Mohd Puad bagi merancang gerak kerja parti bersama komponen lain demi memenangkan parti.  


“Kita tidak ada banyak masa lagi.


“Kita hanya ada 10 hari sahaja untuk berjuang bersama-sama dengan mengikut cara kita,” katanya.


Terdahulu, khabar angin bertiup kencang kononnya Mohd Puad mahu bertanding atas tiket bebas selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon PRU14 di negeri ini.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]