Lagi kes rampasan dron pada hari penamaan calon

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Polis Kedah menahan dua orang awam kerana menggunakan dron di dua lokasi larangan iaitu di Parlimen Merbok dan Langkawi, pagi tadi.


Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, peralatan itu dirampas dan individu yang menerbangkan dron berkenaan ditangkap untuk diambil keterangan.


Menurutnya, polis akan membuat laporan dan menyerahkan peralatan berkenaan kepada pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk siasatan terperinci.


“Tangkapan ke atas individu terbabit dijalankan atas faktor keselamatan kerana pesawat berkenaan tidak sepatutnya diterbangkan di tempat-tempat awam terutamanya ketika orang ramai berkumpul.


“Peralatan berkenaan boleh mengundang bahaya kepada orang awam sekiranya insiden tidak diingini berlaku,” katanya pada sidang media, di bilik media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, tadi.


Beliau turut menasihatkan semua pemilik dron supaya tidak memilih untuk menerbangkan pesawat berkenaan sepanjang tempoh masa PRU, terutamanya pada hari mengundi.


“Polis akan ambil tindakan menahan sesiapa sahaja melakukan kesalahan berkenaan dan juga merampas dron yang diterbangkan di tempat awam,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang pembubaran Parlimen, polis Kedah menerima 27 laporan polis berkaitan kesalahan yang dilakukan berkaitan PRU.


“Daripada jumlah itu, mengenai bendera dan poster terdapat 21 laporan, berita tidak benar (4 laporan) dan ganggu ketenteraman awam (1 laporan) dan lain-lain (1 laporan).


“Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka berikutan kesalahan bakar bendera. Daerah yang terlibat di Kota Setar, Sungai Petani dan Kulim Bandar Baru,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]