Penternak kambing antara ditahan naikkan dron

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Polis menahan tiga penyokong parti kerana penggunaan dron di kawasan penamaan, hari ini.


Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan di P102 Dewan Demense, Bandar Baru Bangi, Kajang dan dua lagi lelaki berusia 33 dan 41 tahun ditahan di P108, Dewan Besar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, Shah Alam.


Menurutnya, semakan mendapati ketiga-tiga penyokong parti ini bekerja sebagai jurugambar bebas, pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penternak kambing.


“Kita telah tahan mereka ini untuk diambil keterangan dan tiga buah dron ini turut dirampas.


“Polis akan lengkapkan siasatan sebelum rujuk kes ini ke timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang media sempena penamaan calon PRU14 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.


Tambah Mazlan, kes disiasat mengikut Peraturan 143(1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 iaitu larangan penerbangan dron di kawasan tertentu kecuali dengan kebenaran Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).


Katanya, jika sabit salah boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.


Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, semua pihak diingatkan untuk menjaga dan memelihara ketenteraman sepanjang kempen PRU14 dengan tidak melalukan provokasi, membangkitkan  isu sensitif, merosakkan atau melakukan perbuatan khianat serta tidak menyebarkan berita-berita palsu.


Selain itu, Mazlan berkata, proses penamaan calon telah berlangsung dalam suasana aman dan terkawal dan kesemua penyokong parti memberi kerjasama baik kepada pasukan keselamatan.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]