Tudung viral PRU14

in Bisnes by


SEMPENA PRU14 yang hanya berbaki beberapa minggu lagi, usahawan kreatif mengambil peluang menyediakan produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan orang ramai sepanjang musim pilihan raya. Musim pilihan raya dianggap limpahan rezeki PRU kepada mereka kerana produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mendapat permintaan tinggi berbanding hari biasa.


Bagi usahawan tudung yang juga Pengarah Chenta Watie Scarf, Irdawati Samsudin berkata, perniagaan tudung yang menggunakan lapan logo parti politik di Malaysia sejak Mac lalu mendapat permintaan tinggi selepas diperkenalkan di laman sosial.


Menurutnya, tudung edisi khas PRU14 itu mempunyai logo parti politik di Malaysia iaitu Barisan Nasional (BN), Umno, Parti Keadilan Rakyat, Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Dap.


“Setakat ini, Chenta Watie Scarf menerima tempahan lebih 7,000 helai tudung berlogo parti sejak dilancarkan. Kami mengambil keputusan memanjangkan tempoh tempahan berikutan masih menerima tempahan daripada pelbagai parti politik selepas pengumuman tarikh pengundian pada 9 Mei oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, baru-baru ini.


“Alhamdulillah, pada peringkat permulaan, kami menerima tempahan daripada BN yang meminta kami menyediakan tudung yang mempunyai logo BN dan Umno dan Puteri Umno. Kini kami menerima tempahan daripada pelbagai pihak yang mahu menggayakannya sepanjang kempen diadakan,” katanya ketika hadir pada siaran FB Live Sinar Harian, baru-baru ini.  


Irdawati berkata, Chenta Watie Scarf bukan sahaja menerima tempahan tudung edisi khas itu daripada penduduk sekitar Johor, malah pihaknya menerima tempahan tudung edisi khas itu dari seluruh Malaysia dan Singapura.


“Saya tidak menyangka tudung berlogo parti ini akan mendapat sambutan yang luar biasa. Kami keluarkan tudung berlogo parti kerana ingin melihat keseragaman semua parti ketika berkempen, ia minimalis dan cantik.


“Kami sediakan pelbagai saiz untuk memudahkan pembeli menggayakannya mengikut cita rasa mereka. Sempena PRU 14, pengeluaran kami meningkat sehingga 3,000 helai seminggu. Tempoh penghantaran selama tujuh sehingga 10 hari bekerja,” katanya.


Tidak panas dan selesa


Bagi memastikan si pemakai tudung berlogo parti sentiasa tampil anggun dan selesa, Chenta Watie Scarf sentiasa kreatif dan berusaha menjadikan setiap rekaannya mempunyai identiti sendiri sekali gus memberikan impak kepada perniagaannya.


“Gabungan idea, elemen seni rekaan, warna dan kesesuaian reka bentuk tudung yang terletak atau sedia untuk disarung sebagai penyelesaian kepada pemakainya menyebabkan ia menjadi pilihan. Rekaan kami memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pemakainya kerana ia dihasilkan fabrik yang berkualiti antaranya satin dan crepe.  


“Fabrik yang digunakan memberikan kemudahan kepada pemakainya kerana ia senang dipakai, mudah dibentuk, lembut, tidak panas dan tidak jarang, Ia adalah rekaan sendiri dan dijahit sendiri di kilang kami yang terletak di Simpang Renggam, Johor,” katanya.


Beliau berkata, penggunaan kedua-dua fabrik itu memudahkan si pemakai untuk melaraskan tudung sama ada singkat atau labuh. Selain itu, apabila tudung dibasuh, warnanya tidak akan luntur.   


Irdawati berkata, harga tudung logo parti yang ditawarkan adalah bermula daripada RM19 (crepe) dan RM59 (satin). Menariknya, setiap pembelian secara pukal, Chenta Watie Scarf akan memberikan harga yang berpatutan dan lebih murah.   


Untuk memberikan kemudahan kepada pelanggannya, Irdawati berkata, pelanggannya boleh mendapatkan tudung logo parti daripada 60 pengedar sahnya di seluruh negara.


Terima kecaman


Sebelum mengeluarkan tudung logo parti, Irdawati sudah menjangkakan beliau akan menerima pelbagai reaksi yang positif dan negatif daripada orang ramai.


“Saya tawakal dan memperkenalkannya di laman sosial, ia menjadi viral dan tempahan semakin bertambah. Saya menerima pelbagai kecaman dan saya menganggapnya sebagai satu cabaran.


“Saya mengambil cabaran tersebut sebagai sesuatu yang positif dan menyediakan tudung semua logo parti. Mereka boleh menyokong apa sahaja parti dan memilih tudung mengikut cita rasa masing-masing,” katanya.  


Irdawati berkata, selepas pengumuman parti bertanding, beliau juga mengambil inisiatif mengeluarkan satu tudung yang mempunyai semua logo parti.


“Saya tidak sangka pengenalan tudung pelbagai logo parti turut mendapat sambutan yang memberangsangkan. Selain menyediakan tudung bawal, kami juga menyediakan dalam bentuk selendang dan menerima ‘custome made’ dalam bentuk pukal sahaja,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan mengenakan penambahan harga sekiranya pelanggan mahukan ada aksesori dan hiasan di tudung tersebut. Chenta Watie Scarf juga turut menerima tempahan tudung yang menggunakan logo parti bebas.


Katanya, mereka yang berminat boleh membuat tempahan tudung logo parti sehingga tujuh hari sebelum pilihan raya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]