Ahli Umno jadi pencadang, penyokong, penaja akan dipecat

in Politik by


BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno akan memecat anggotanya yang menjadi pencadang, penyokong atau penaja  calon Bebas dan parti pembangkang pada PRU14.


Ahmad Zahid, Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden, berkata tindakan tegas perlu diambil kerana kumpulan itu telah mengkhianati parti.


“Saya ingin menyebutkan bahawa memang terdapat di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian yang bertanding sebagai calon Bebas atau calon parti pembangkang.


“Sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan Umno, mereka yang terlibat secara langsung, secara automatik (mereka) akan terkeluar menjadi ahli Umno,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program NBOS: 1AMANWEEK 2018 Banteras Jenayah Dan Perangi Dadah di Dataran Bagan Datuk di sini hari ini.


Sementara itu, Ahmad Zahid memuji tindakan parti politik termasuk pembangkang yang menjaga disiplin para penyokong sehingga tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan kekacauan pada hari penamaan calon semalam


Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tiada sebarang insiden kekerasan dan tidak diingini berlaku yang memerlukan campur tangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak mengawal keselamatan di sekitar kawasan penamaan calon.


Beliau berpuas hati dengan proses penamaan calon di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta di kawasan ‘hotspot’ atau ‘ flash point’.


“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) semalam sewaktu diadakan penamaan calon di seluruh negara kerana tidak berlaku sebarang insiden yang memerlukan campur tangan PDRM.


“Walaupun ada insiden yang menggunakan dron tetapi itu adalah di bawah (tanggungjawab) DCA (Jabatan Penerbangan Awam),” katanya.


Ahmad Zahid berharap trend itu dapat dikekalkan sepanjang tempoh berkempen terutamanya pada hari pengundian pada 9 Mei ini.


“Saya berharap semua parti politik dapat menghormati peraturan dan mengawal perasaan pengikut masing-masing dan saya berterima kasih kepada PDRM yang mengambil inisiatif untuk melakukan  ‘engagement’ dengan semua parti politik supaya mereka lebih berketertiban ketika berkempen dan hari mengundi,” katanya.


Sementara itu, Mohamad Fuzi ketika diminta mengulas mengenai laporan terdapat kain rentang yang menyinggung dan mencetuskan sensitiviti sepanjang tempoh proses penamaan berlangsung, beliau berkata ia sebagai kes terpencil di mana jumlahnya kurang daripada 10 kes di seluruh negara.


“Kita telah mengambil tindakan yang perlu dan jalankan siasatan,” katanya. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]