‘Berkempen biarlah gentleman’

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


CALON PKR Parlimen Jasin P139, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meminta mana-mana calon bertanding PRU14 tidak menyentuh mengenai peribadi calon lain apabila berkempen.


Khairuddin berkata, malah jentera dan partinya juga dilarang menjadikan perkara itu asas kempen yang dianggap serangan peribadi kepada calon terlibat.


“Berkempen biarlah secara ‘gentleman’ dan bukannya menjadikan peribadi seseorang calon itu sebagai medium atau isu untuk menang bertanding. Jangan bercakap mengenai latar belakang siapa pun calon dan berkempenlah dengan cara jujur.


“Kalau boleh saya nak jadikan kempen secara kekeluargaan ini sebagai budaya dan saya sendiri tidak kisah jika lawan saya di Parlimen Jasin sudi turun padang berkempen bersama-sama. Kita mahu rakyat lihat sendiri dan nilai kedua-dua pihak secara terus,” katanya


Beliau berkata, pencalonannya di parlimen ini bukannya sekadar suka-suka malah dianggap sebagai satu amanah berat untuk digalas.


“Bertanding PRU bukan kerana status dan sebagainya, ia antara kita dan ALLAH SWT serta sesama manusia.


“Apabila saya dipilih sebagai sebagai calon mewakili parti di sini, saya nekad beri-kan terbaik,” katanya.


Bekas Naib Presiden Umno Batu Kawan, Pulau Pinang itu menjelaskan, tidak timbul isu calon import seperti dikatakan segelintir pihak.


“Tidak kira di mana seseorang itu lahir, dia layak bertanding di mana-mana sahaja asalkan niatnya menjadi pemimpin betul dan jujur.


“Kita hidup dalam negara demokrasi, jadi siapa layak bergelar pemimpin, dia boleh bertanding,” katanya.


Khairuddin juga berkata, sejak sebulan lalu menetap di Jasin, dia tidak ketinggalan menjalankan aktiviti turun padang bertemu masyarakat di sini.


“Saya kalah atau menang, saya akan berada di sini untuk lima tahun akan datang. Jangan jadikan isu rakyat tidak boleh bertemu dengan saya kerana saya tidak tinggal di sini.


“Jika sudah dilantik sebagai wakil rakyat kawasan, sudah tentulah kita wajib membuka pusat khidmat masyarakat bagi memudahkan urusan bertemu mereka,” katanya.


Dalam pada itu, Khairuddin bersyukur kerana isterinya, Datin Seri Umie Aida sentiasa memberikan sokongan kepadanya.


“Walaupun tidak nampak dia bersama-sama, tetapi ia bukan alasan dia tidak menyokong saya, sebaliknya saya sendiri mahu pisahkan antara kerjaya saya dan dia kerana dia dikenali di mana-mana.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]