Bina hospital baharu Kampar antara manifesto BN

in Edisi by


KAMPAR – Meneruskan rancangan pembinaan hospital baharu adalah antara perkara utama yang digariskan dalam manifesto BN Kampar bagi PRU14.


Calon Parlimen Kampar Datuk Lee Chee Leong berkata, pembinaan hospital baharu itu adalah demi kemudahan penduduk setempat termasuk mengelak berlaku kesesakan lalu lintas ketika mereka ingin mendapatkan rawatan di hospital sedia ada.


Beliau berkata, ketika menjadi Ahli Parlimen Kampar pada 2008 hingga 2012, Kementerian Kesihatan meluluskan projek tersebut di atas tapak seluas 40 hektar di Bandar Baru Kampar.


“Hospital sedia ada sudah lama. Sekiranya hospital di sini penuh, pesakit perlu mendapatkan rawatan di Hospital Ipoh yang jaraknya agak jauh dari sini,” katanya pada sidang media mengenai pengumuman manifesto BN Kampar bertemakan ‘Teguh Bersama, Sehati Sejiwa’ di sini hari ini.


Hadir sama calon Dun Keranji, Daniel Wa Wai How dan Malim Nawar, Chang Gwo Chyang.


Mengulas lanjut, Lee yang juga Naib Presiden MCA berkata, segala aku janji yang terkandung dalam manifesto itu bukan janji manis BN tetapi ia akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini demi kepentingan penduduk di sini.


“Selama beberapa penggal BN menang di Parlimen itu (Kampar), banyak yang telah dilakukan antaranya dari segi pembangunan dan infrastruktur,” katanya.


Justeru, Lee meminta agar pengundi di Kampar terus memberi sokongan kepada semua calon BN agar pembangunan di kawasan itu dapat diteruskan demi kepentingan semua.


Sementara itu, Danial Wa berkata, antara aku janji yang akan dilaksanakan untuk masyarakat di Dun Keranji ialah menaik taraf sistem pengairan bagi mengelak berlakunya banjir kilat ekoran hujan lebat.


“Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada penduduk kerana ia menyebabkan berlaku kerosakan pada kereta serta rumah akibat banjir. Banyak kali kenderaan penduduk dimasuki air apabila paras air meningkat dan terpaksa berhenti di kawasan banjir kilat,” katanya.


BN Kampar menggariskan tujuh teras utama dalam manifestonya iaitu ekonomi, belia, wanita, warga emas, kemasyarakatan, meningkatkan kehidupan warga Kampar dan pendidikan.


Antara kandungan tujuh teras itu ialah meneruskan pembangunan kampung baharu, kampung tradisional Melayu, perkampungan kaum India, Sikh dan Orang Asli serta melaksanakan transformasi urbanisasi; memastikan kekayaan sumber asli digunakan sebaiknya bersama rakyat bagi menggalakkan kemakmuran ekonomi, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.


Selain itu, meneruskan usaha projek susur keluar Kampar di Lebuhraya Utara Selatan bagi memudahkan penduduk serta merangsang industri pelancongan bagi memacu ekonomi perindustrian dan komersial, menyediakan rumah mampu milik bagi membolehkan golongan muda merealisasikan impian memiliki rumah sendiri menerusi program ‘Rumah Impianku’. – Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]