Bukan lagi tempat jin bertendang

in Nasional by


BAGAN DATUK – Ketinggalan hampir 60 tahun dari pelbagai aspek bukanlah satu halangan buat Parlimen Bagan Datuk mengejar kembali, terutama dari segi pembangunan.


Malah selepas diiktiraf sebagai daerah ke-12 di Perak Januari tahun lalu, Bagan Datuk semakin maju hari demi hari atas usaha dilakukan oleh penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Ahmad Zahid sendiri sebelum ini ketika berucap dalam beberapa program di Bagan Datuk sering mengatakan bahawa Bagan Datuk dahulunya sebuah kawasan di penghujung Perak yang jauh ketinggalan.


“Dulu bila di Bagan Datuk ini, bila sampai ke hujung jumpa jeti buruk, kedai buruk umpama tempat jin bertendang, sampai ada cakap hujung dunia tiada apa pembangunan semasa berada di bawah pentadbiran Daerah Hilir Perak.


“Tetapi sekarang atas usaha dan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Bagan Datuk kini sedang membangun dengan pelbagai pembangunan dibawa ke daerah ini untuk keselesaan rakyat Bagan Datuk,” katanya.


Menurut Ahmad Zahid lagi, jika sebelum ini Bagan Datuk digelar sebagai tempat jin bertendang, namun kini ‘jin-jin berkenaan menendang’ kembali Parlimen tersebut kerana menerima pembangunan berterusan.


“Orang Bagan Datuk sentiasa dahagakan pembangunan dan kita tidak pernah menolak pembangunan kerana kami sudah tidak mahu lagi menjadi penonton sahaja melihat wang dan ringgit berada di atas awang-awangan,” katanya.


Sementara itu, Ahmad Zahid ketika berucap pada amanat khas beliau sempena penamaan calon, turut mengingatkan penduduk Bagan Datuk agar terus menyokong kerajaan BN bagi memastikan pembangunan yang dibawanya untuk rakyat Parlimen berkenaan kekal.


“Ketepikan sama ada Melayu, India, Cina termasuk lapan pengundi Orang Asli dan bersatulah menyokong calon-calon BN yang bertanding di Parlimen Bagan Datuk dan Dun Rungkup serta Hutan Melintang.


“Kita bukan mahu riak, takbur dan bangga diri tetapi inilah masa orang Bagan Datuk berterima kasih selepas telah ketinggalan selama 60 tahun kerana kerajaan BN telah membawa semua pembangunan di kawasan ini,” katanya.


Ahmad Zahid turut mengajak anak-anak Bagan Datuk yang merantau keluar agar kembali ke Bagan Datuk untuk bersama-sama memajukan Parlimen serta daerah yang sedang menerima pelbagai pembangunan.


Sebelum ini, Bagan Datuk adalah antara Parlimen yang paling kurang maju dari segi pembangunan tetapi selepas dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2015, Ahmad Zahid mula membawa pelbagai pembangunan di Parlimen berkenaan.


Antara pembangunan berkenaan adalah pembinaan Politeknik Bagan Datuk, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Bagan Datuk, naik taraf dataran dan jeti Bagan Datuk, bakal menyediakan 10,000 peluang pekerjaan dan juga pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Bagan Datuk dengan daerah Perak Tengah.


Kesemua projek berkenaan ada yang sudah siap dan dalam proses pembinaan dalam pelbagai peringkat seperti pecah tanah mahupun penanaman cerucuk.


Ahmad Zahid pernah mengatakan pembangunan yang dibawa olehnya itu bukan sahaja untuk keselesaan generasi hari ini, malah juga generasi akan datang, selain menjadikan Bagan Datuk sebagai daerah terbaik di negeri ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]