Calon muka baharu BN tekad tawan hati pengundi

in Edisi Sabah Sarawak by


TAWAU – Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong Lo Su Fui, 37, tekad menawan hati pengundi di kawasan itu, sekali gus merampas kerusi yang disandang calon DAP sejak dua penggal lepas.   


Menggunakan motto ‘I Come I Care I Solve’ dalam mendekati pengundi, bekas  Pengerusi Persatuan Peniaga Tiong Hua Tawau itu komited akan menjaga serta  mengukuhkan ekonomi dan cuba menyelesaikan masalah penduduk jika diberi mandate pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.


“Usia bukan satu saingan untuk menang, namun saya yakin BN pilih saya kerana  kemampuan saya selaku orang yang pernah memegang jawatan dalam Persatuan Peniaga Tiong Hua.


“Sepanjang tempoh ini, banyak pengalaman saya peroleh berkaitan ekonomi, budaya, politik dan pendidikan. Jadi saya yakin dapat menawan hati pengundi-pengundi di Sri Tanjong,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Beliau daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) iaitu parti komponen BN terlibat dalam pertandingan empat penjuru dengan calon Parti Harapan Rakyat Sabah Pang Thou Chung, calon Parti Kebangsaan Sabah Leong Yun Fui serta calon DAP yang juga Penasihat DAP Sabah Wong Sze Phin @ Jimmy.


Lo dalam pada itu berkata sudah tiba masanya penduduk DUN Sri Tanjong memilih  wakil atau pemimpin yang ikhlas berkhidmat untuk masyarakat Tawau.


“Bukan calon yang sering lompat parti atau calon yang pindah tempat setiap lima tahun. Perkara itu tidak baik untuk penduduk setempat kerana mereka tidak tahu apa isu atau bantuan yang boleh diberikan,” katanya sambil menambah memilih calon DAP hanya memberi sengsara pada diri sendiri.


Jimmy pernah menyandang kerusi DUN kawasan itu pada PRU12 sebelum disandang oleh Chan Foong Hing yang juga daripada DAP pada PRU13. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]