Johor, Fama bakal bina 9 Pasar Tani Kekal

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk membina sembilan Pasar Tani Kekal dengan kos RM20 juta bagi memastikan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai sebuah pasar tani.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini terdapat lima Pasar Tani Kekal di dalam negeri yang menawarkan harga barangan pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.


“Kita ada 14 PBT di dalam negeri dan kita akan pastikan setiap PBT mempunyai sebuah Pasar Tani Kekal. Fama ketika ini ada perancangan untuk membina lima lagi pasar tani dengan kos RM10 juta dan kerajaan negeri akan tambah RM10 juta untuk membina selebihnya.


“Kerajaan menerusi Fama juga ada menyediakan pinjaman maksimum RM50,000 kepada golongan usahawan muda yang berusia 40 tahun ke bawah, tanpa cagaran dan tanpa faedah selain geran RM20,000 kepada mereka yang mahu membuka perniagaan menerusi Fama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani Kekal Permas Jaya, di sini, hari ini.


Mohamed Khaled berkata, perkara ini juga selari dengan dasar keusahawanan kerajaan negeri dan manifesto yang diumumkan kerajaan BN dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.


Katanya, perkara unik yang menjadi tarikan kepada Pasar Tani Kekal ini adalah setiap peniaga tidak perlu membayar sewa untuk menjalankan perniagaan mereka.


Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui berpuas hati dengan program Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani Kekal Permas Jaya dan berharap pelaksanaan untuk membina pasar lain dapat dijayakan dengan segera.


Bagi pelanggan, Beh Chai Long, 56, pembinaan Pasar Tani Kekal dilihat sebagai memberi lebih kemudahan kepada rakyat terutamanya mereka yang menetap di kawasan bandar seperti Permas Jaya.


“Saya rasa pembinaan pasar tani ini bagus sebab kita tidak payah pergi pasar raya yang mahal-mahal, barang yang dijual di sini juga murah dan dekat dengan kawasan perumahan jadi rakyat tak perlu pergi jauh-jauh untuk beli barangan dapur yang murah.


“Kalau kerajaan selalu buat program macam ini memang bagus untuk rakyat dan rakyat juga akan sentiasa sokong kerajaan,” katanya.


Bagi peniaga Pasar Tani Kekal Permas Jaya, Norhayati Othman, 40, pembinaan pasar tani ini dilihat memberi peluang kepada golongan petani dan nelayan meningkatkan pendapatan, tanpa perlu bergantung kepada orang tengah.


“Memang sangat bagus sebab kita dapat jual produk kita secara terus, jadi barang-barang macam sayur dan buah lepas petik terus boleh jual di pasar. Jadi orang ramai pun boleh tengok tahap kesegaran barang-barang yang kita jual.


“Saya menyambut baik perancangan kerajaan untuk membantu golongan usahawan dan wanita dalam manifesto yang dibentangkan baru-baru ini. Jadi kita boleh beritahu pada mereka di luar sana yang orang Johor ini boleh berniaga dan kita ada macam-macam produk yang boleh diketengahkan,” katanya. – BERNAMA


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]