Negeri terbersih lonjak Ipoh

in Uncategorized by


IPOH – Kesungguhan dalam memastikan bandaraya Ipoh bersih antara faktor tarikan pelancong sehingga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.


Pengiktirafan daripada Lonely Planet dan terbaharu pengiktirafan daripada The New York Times dalam ruangan Travel pada 28 Februari lalu membuktikan usaha yang dilakukan kerajaan tidak sia-sia.


Pengerusi Koperasi Alam Hijau Perak Berhad (Kohijau), Dr Richard Ng berkata, semua ini sebenarnya rentetan daripada komitmen Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang tidak berkompromi terhadap kebersihan bandar raya ini.


Katanya, pendekatan turun padang dalam memastikan keadaan negeri ini khususnya kawasan bandar bersih sangat berkesan.


“Dr Zambry bukan sahaja beri arahan untuk jaga kebersihan, tetapi beliau turun sama-sama kutip sampah dengan pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Tak ada orang sanggup buat melainkan pemimpin itu serius dengan apa yang dikata.


“Impaknya inilah. Perak sudahpun menjadi negeri kedua terbersih di Malaysia hasil kerjasama semua dan komitmen menteri besar itu,” katanya kepada Sinar Harian.


Katanya, tindakan Zambry turun padang memastikan Perak bersih juga mencetuskan semangat baharu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk memastikan bandar atau pekan mereka bersih.


Richard berkata, di sebalik pembangunan yang semakin pesat di Ipoh, kelestarian alam sekitar tidak dipandang ringan.


Malah katanya, Zambry sendiri dalam Executive Talk pada tahun 2017 dan diulang pada tahun 2018 memberi penekanan terhadap kehijauan bandar ini.


“Pembangunan dan kemajuan sesuatu kawasan itu memang diperlukan bagi membuka pelbagai ruang serta peluang kepada penduduk. Namun, sesuatu pembangunan yang dirancang perlu seimbang dengan alam.


“Itulah dasar Dr Zambry yang mahu melihat kehijauan alam tidak diganggu sebaliknya menggunakan alam semulajadi yang ada sebagai satu kelebihan dalam pembangunan dilaksanakan itu,” katanya.


Richard berkata, begitu juga dengan kebersihan tandas yang begitu dititikberatkan menteri besar dalam memastikan aspek kebersihan meliputi semua peringkat dan tempat.


Menurutnya, kempen Perak Yang Bersih cetusan idea Zambry disambut baik seluruh rakyat di negeri ini.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]