Pavilion Karangkraf terima sambutan hangat

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pavilion Karangkraf terus menjadi tumpuan pengunjung dan mendapat sambutan hangat pada hari kedua penganjurannya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 yang dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula Jumaat lalu.


Seorang pengunjung, Siti Addila Mohd Tap, 46, berkata, setiap tahun, sememangnya menjadi kewajipan mereka sekeluarga untuk mengunjungi PBAKL terutama untuk ke Pavilion Karangkraf.


“Memang tidak pernah ketinggalan untuk kami sekeluarga datang ke sini (Pavilion Karangkraf) dan juga reruai Karangkraf lain pada penganjuran pesta buku di sekitar Lembah Klang sejak beberapa tahun lalu.


“Setiap tahun, memang kami nantikan dan akan bawa beg besar untuk mengisi bahan bacaan yang dibeli terutama dari Pavilion Karangkraf, antaranya majalah masakan, buku ilmiah, al-Quran dan novel,” katanya ketika ditemui di Pavilion Karangkraf, semalam.


Menurutnya, kelebihan Pavilion Karangkraf adalah pelbagai tawaran menarik dan diskaun yang sangat menarik serta aktiviti pentas yang menyeronokkan.


“Kaunter bayaran juga banyak dan luas, memudahkan pengunjung untuk membuat pembayaran,” ujarnya.


Katanya, disebabkan mereka sekeluarga memang minat membaca, justeru sanggup bergerak dari rumah di Ampang seawal jam 7.30 pagi untuk ke PWTC.


“Kami gerak awal kerana mahu mendapatkan parkir yang dekat dan Alhamdulillah, kami sangat puas hati dengan kunjungan kami kali ini kerana dapat membeli bahan bacaan yang diingini.


”Penuh beg roda yang kami bawa dan kebanyakan pembelian bahan bacaan di sini (Pavilion Karangkraf) yang saya anggarkan berjumlah lebih RM300,” katanya yang berhasrat untuk berkunjung sekali lagi pada hari akhir PBAKL untuk mendapatkan lebih banyak bahan bacaan.


Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang juga seorang guru, Nur Zahariah Mohd Ali berkata, tahun ini adalah kali pertama dia dan keluarga berkunjung ke Pavilion Karangkraf.


“Saya memang tertarik dengan pavilion ini kerana ia lebih besar dan luas, serta banyak bahan bacaan dari pelbagai segmen boleh diperoleh pada harga sangat berbaloi.


“Sebelum ini, saya suka beli buku terbitan Karangkraf di kedai-kedai biasa sahaja, tetapi apabila berpeluang ke sini, saya dapati harganya lebih murah, di samping boleh dapat banyak tawaran istimewa,” katanya yang berkunjung ke PWTC bersama anak muridnya dengan menaiki bas.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]