Pesara tentera ditahan guna dron

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang pesara tentera antara dua individu ditahan selepas dikesan menggunakan dron semasa proses penamaan calon berlangsung, semalam.


Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di lorong jalan raya sebelah kanan bangunan Stadium Negeri, kira- kira jam 12 tengahari.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, lelaki berasal dari Kelantan itu ditahan selepas polis menyedari kehadiran sebuah dron yang diterbangkan di sekitar kawasan penamaan calon.


“Anggota bertugas merakam gambar dan mengekori dron tersebut sebelum mendapati ianya diterbangkan dengan menggunakan alat kawalan jauh oleh seorang lelaki dan mendarat di atas simen berhampiran.


“Seterusnya pemeriksaan dibuat ke atas dron bersama satu alat kawalan jauh serta beberapa kelengkapan lain sebelum dirampas dan diserahkan untuk rujukan Pengarah Jabatan Penerbangam Awam untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Idris berkata, selain itu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan selepas didapati menggunakan dron di sekitar penamaan calon di Kompleks Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.


Katanya, lelaki berasal dari Kampung Telaga Batin, Kuala Nerus, ditahan kira-kira jam 9.05 pagi, di hadapan Hotel Tabung Haji, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus.


“Penggunaan dron yang diterbangkan di sekitar tempat penamaan calon dikesan sebelum pemerhatian dibuat kira-kira tiga minit.


“Kemudian, anggota bertugas yang mengekorinya ternampak dron tersebut sedang dikawal seorang lelaki menggunakan alat kawalan jauh sebelum ianya mendarat di atas rumput kawasan lapang hadapan lelaki itu,” katanya.


Jelas Idris, kesemua kelengkapan yang ada termasuk dron dan alat kawalan jauh dirampas, manakala lelaki itu ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.


“Jika disabitkan kesalahan itu, kedua- dua lelaki itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]