Alina teruskan hasrat

in Hiburan by
Alina Hassan

Alina teruskan hasrat


SEBELUM memulakan perjuangan di pentas Mentor Otai, Alina Hassan, 50, pernah berkongsi hasratnya dengan Sinar Harian untuk menggunakan wang kemenangan bagi membeli sebuah van yang akan digunakan untuk perkhidmatan cuci rumah.


Dan biarpun hanya mendapat tempat ketiga dalam program ini, Alina berkata, dia tetap akan meneruskan hasrat tersebut dan menjalankan cleaning service dari rumah ke rumah.


“Buat masa ini, saya tidak merancang untuk meneruskan karier nyanyian secara tetap.


“Maksud saya, kalau ada undangan nyanyian, saya tetap akan pergi, tapi untuk merakamkan single atau album, buat masa ini saya belum terfikir lagi.


“Tapi yang pasti saya ingin beli sebuah van untuk teruskan kerjaya saya sebelum ini,” ujarnya yang membawa pulang wang tunai RM20,000 serta trofi.


Alina berkata, setiap minggu dia sudah cuba untuk memberikan yang terbaik dan faktor usia secara tidak langsung turut mempengaruhi persembahannya.


“Kalau Mentor saya puas hati, saya puas hati. Kalau Mentor saya marah, saya terima.


“Setiap minggu saya cuba beri yang terbaik tapi sebagai wanita yang sudah berusia 50 tahun, ada ketika kesihatan tidak mengizinkan dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi persembahan saya,” katanya.


Bagi mentornya pula, Siti Sarah Raisuddin, 33, dia menyifatkan pentas akhir Mentor Otai sebagai persembahan terbaik daripada protegenya itu.


“Pada saya, apa yang kak Alina buat malam ini (Ahad), ia sudah menjadi juara di hati saya.


“Sepanjang tujuh minggu, apa yang boleh saya katakan, malam ini adalah persembahan dia yang paling baik,” ujarnya.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]