Calon terkejut gambar poster diubahsuai

in Edisi Selangor KL by


SERI KEMBANGAN – Calon Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah mendakwa terkejut apabila poster memaparkan gambar beliau bersama pembantunya yang memegang logo PKR diubahsuai pihak tidak bertanggungjawab.


Katanya, pihak itu mengubahsuai logo PKR menjadi logo BN dan turut memuatkan kenyataan dalam tulisan Cina yang bermaksud sokong BN bermakna menyokong DAP.


Ean Yong berkata, dia mengetahui mengenai perkara itu selepas dirinya sendiri menerima poster itu menerusi sistem aplikasi WhatsApp, sejak semalam.


“Saya terkejut lihat gambar pada poster sudah ditukar kepada logo BN, bukan itu sahaja mereka turut tukar tulisan di bawah logo yang pada asalnya bertulis undi ‘mata biru’ (PKR) sama dengan roket (DAP) kepada undi BN sama dengan undi DAP..


“Saya tak pasti siapa lakukan namun seolah-olah  ada agenda politik. Saya mengutuk taktik kotor pihak tidak bertanggungjawab ini,” katanya, hari ini.


Ean Yong berkata, beliau mempunyai gambar asal yang memaparkan pembantunya hanya memegang logo PKR bukan logo BN seperti tersebar di sekitar Seri Kembangan, sejak semalam.


Pihaknya menganggap perkara itu serius dan ia akan mengelirukan pengundi khususnya warga emas selepas dimaklumkan DAP akan guna logo parti lain pada PRU14 ini.


“Poster itu sebenarnya untuk maklumkan kepada pengundi bahawa DAP akan guna logo PKR pada PRU14 nanti, saya tak sangka ada pihak ubahsuai logo pada poster dan sebarkan.


“Saya bimbang pengundi akan ingat undi BN sama dengan undi DAP dan menyangka parti kami sudah bekerjasama dengan BN,” katanya.


Menurutnya, beliau yang akan berbincang dengan peguamnya sama ada perlu membuat laporan polis atau sebaliknya rentetan kejadian berlaku.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]