CBE platform bantu wanita mulakan bisnes

in Bisnes by


PROGRAM Community Based Enterprise (CBE) di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Kuala Lumpur menjadi platform untuk wanita memulakan perniagaan berdasarkan kemahiran.


Pengarah Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Jabatan Pembangunan Wanita, Mohd Hanafee A Rahman berkata, objektif utama CBE dilaksanakan adalah bagi membantu golongan wanita mempelajari kemahiran baharu dan dapat digunakan untuk meningkatkan pendapatan mereka.


“Secara tidak langsung CBE menjadi platform untuk wanita memulakan bisnes mereka sendiri berdasarkan kemahiran-kemahiran yang dipelajari.


“CBE turut bekerjasama dengan tenaga pengajar yang terdiri daripada usahawan dan individu yang mempunyai kemahiran-kemahiran dalam bidang-bidang tertentu bagi mengajar kemahiran kepada ibu tunggal, suri rumah dan mereka yang mahu meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.


Katanya, CBE turut melahirkan usahawan wanita yang berjaya menjana jualan sehingga RM1,000 seminggu.


“Sebelum ini kami menganjurkan kursus kemahiran membuat kuih keria Melaka. Dan Alhamdulillah salah seorang peserta dari Melaka yang mengikuti program ini berjaya meraih jualan kira-kira RM1,000 dalam tempoh satu minggu.


“Kerana itu CBE membuka peluang untuk wanita menyertai pelbagai program kemahiran yang sekali gus dapat membantu mereka menggandakan pendapatan,” katanya.


Tambahnya peserta hanya perlu membayar minimum RM50 untuk menyertai setiap kelas kemahiran, di mana peralatan disediakan sendiri oleh tenaga pengajar.


Dilancarkan sejak Februari 2017, hampir 30 kursus kemahiran dianjurkan setiap bulan dengan jumlah peserta melebihi 500 orang sebulan.


Antara kursus yang anjurkan dalam program CBE adalah kemahiran gubahan bunga reben kudup ros, kemahiran urutan wanita berpantang, pastri dan bakeri serta jahitan.


“Sambutan bagi setiap program amat menggalakkan. Bahkan peserta bukan sahaja datang dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, tetapi ada yang sanggup datang dari jauh seperti Singapura, Johor, Melaka, Pahang dan Kedah.


“Tenaga pengajar pula dipilih dari kalangan mereka yang berkelayakan seperti usahawan yang dilatih sendiri di bawah program Jabatan Pembangunan Wanita serta individu-individu yang mempunyai kemahiran tertentu,” katanya info berkenaan CBE boleh didapati di laman sosial Facebook JPW Kuala Lumpur.


 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]