Dron : 16 laporan diterima polis

in Politik by


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 16 laporan berhubung salah laku penggunaan dron sepanjang proses penamaan dan berkempen dalam PRU14.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, dron tidak boleh digunakan kecuali dengan kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).


“Kebenaran untuk gunakan dron ini bukan daripada kita (polis), tapi DCA.


“Kita telah terima lebih daripada 30 laporan atas pelbagai masalah yang timbul, tapi untuk kesalahan menaikkan dron ini ada lebih kurang 16 laporan,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, lain-lain laporan adalah seperti tohmahan kepada PDRM yang mendakwa polis menghalang calon untuk mendaftar pada penamaan calon, tempoh hari.


Jelasnya, perkara itu adalah tidak benar sama sekali dan pihaknya menerima dua laporan polis di Negeri Sembilan berhubung kes itu dan siasatan sedang dijalankan.


“Lepas siasatan, kita akan rujuk kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.


Sabtu lalu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding apabila calon PKR, Dr S Streram, gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau di Rembau, hari ini.


Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub, membuat pengumuman itu selepas proses penamaan calon tamat, hari ini.


Difahamkan, calon PKR itu tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas calon, manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Dalam perkembangan lain, polis menunggu laporan penuh daripada DCA berkenaan siasatan sekiranya wujud unsur jenayah berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pesawat yang mahu dinaikinya untuk ke Langkawi, Kedah disabotaj.


“Siasatan dikendalikan oleh DCA, kita tunggu untuk siasatan seterusnya sebelum tindakan sewajarnya,” katanya.


Mengulas mengenai suspek utama pembunuhan imam dan pensyarah universiti dari Palestin, Allahyarham Dr. Fadi Mohammed Al Batsh, 35, yang sedang diburu, Mohamad Fuzi berkata, usaha menjejak suspek ini masih dilaksanakan di dalam dan luar negara.


“Kita juga telah berhubung dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (Aseanapol) bagi memburu suspek di seluruh rantau Asia,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]